Exco minta jangan panik, itu letupan paip bukan tangki!

Jimmy (kanan) bersama Aminolhuda pada sidang media selepas menghadiri taklimat bersama Petronas, di sini hari ini.
Jimmy (kanan) bersama Aminolhuda pada sidang media selepas menghadiri taklimat bersama Petronas, di sini hari ini.
A
A
A

PENGERANG - Penduduk tidak perlu panik dengan insiden letupan berlaku di tapak Projek Kompleks Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid), Pengerang malam tadi.

Exco Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti negeri, Jimmy Puah Wee Tse berkata, apa yang berlaku hanya melibatkan letupan paip dan bukan tangki.

Menurutnya, penduduk juga tidak perlu bimbang tentang kesan kimia ekoran kejadian itu kerana pihak Petronas telah mengesahkan bacaan kualiti udara adalah stabil.

"Ada gambar-gambar di WhatsApp penduduk pakai topeng penutup mulut dan hidung kerana bimbang ada gas dan sebagainya.

"Tapi melalui taklimat bersama Petronas pagi tadi memaklumkan bacaan udara selamat. Kita harap pihak orang awam jangan panik bila lihat orang pakai 'mask' seolah-olah macam kes pencemaran Sungai Kim-Kim.

"Letupan juga bukan melibatkan tangki tetapi paip di tapak projek itu sahaja. Kalau melibatkan tangki ia mungkin serius. Kita boleh cakap ia bukan insiden besar hanya kebetulan sahaja ada gegaran," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Tambahnya, kerajaan juga sedia membantu penduduk yang terjejas dengan insiden itu bagi menuntut kerugian daripada Petronas.

Terdahulu, beliau bersama Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan negeri, Aminolhuda Hassan menghadiri taklimat bersama Petronas bagi mendapatkan maklumat awal susulan insiden tersebut.

Dalam pada itu, Aminolhuda berkata, sehingga kini beliau dimaklumkan terdapat tiga kawasan yang terjejas ekoran insiden letupan itu.

Artikel Berkaitan:

Katanya, di Kampung Lepau sebanyak enam buah rumah yang terjejas manakala dua lagi kawasan iaitu Kampung Sungai Kapal dan Taman Rengit Jaya masih dalam siasatan.

"Syabas kepada pasukan tindakan kecemasan ERT Rapid Pengerang yang berjaya bertindak pantas memadam kebakaran dalam 30 minit," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Dua cedera Rapid Pengerang meletup

Lebih 10 rumah rosak akibat letupan Rapid Pengerang