PRU15: Calon PH dakwa sekali lagi disabotaj di Behrang

Sebuah kenderaan orang awam di Behrang ditampal poster tertera gambar Khairol Najib.
Sebuah kenderaan orang awam di Behrang ditampal poster tertera gambar Khairol Najib.
A
A
A

BEHRANG - Calon Pakatan Harapan (PH) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Behrang mendakwa kempennya sekali lagi disabotaj pihak tertentu dalam usaha mengekang kemaraan beliau di kerusi tersebut pada Pilihan Raya Umum ke-15.

Dalam perkembangan terbaharu, Khairol Najib Hashim memberitahu, beliau menerima aduan daripada seorang pengundi Behrang yang memintanya untuk tidak melekatkan posternya di kereta milik orang lain.

Khairol Najib mengakui terkejut dengan perkara tersebut bagaimanapun menafikan beliau dan jentera partinya melakukan kempen sedemikian.

"Saya terkejut dan menafikan bahan itu daripada kami. Pemilik kenderaan tersebut beri gambar dan saya mengesahkan yang kami tidak ada bahan kempen seperti gambar yang diberikan," katanya.

Beliau sehubungan itu telah membuat laporan polis dan menegaskan tidak sesekali bertolak ansur dengan kempen secara kotor.

"Kepada si pelaku, kami tahu anda sedang berhempas pulas untuk memburukkan kami di mata pengundi.

"Tapi kami yakin bahawa pengundi di Behrang tahu siapa yang bersungguh untuk bekerja dan siapa yang hanya sibuk bermain politik lapuk," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Perak, Salman Saleh kesal politik sabotaj dan mendesak polis mengambil tindakan tegas segera mendakwa pihak yang melakukan kerja khianat.

"Kami mengharapkan pihak-pihak yang menjadi mangsa tindakan sabotaj yang mana kenderaan mereka ditampal dengan pelekat poster calon PH (gam yang kuat) dibela dengan menghukum pelaku.

Artikel Berkaitan:

"Usaha khianat dan sabotaj ini cukup bahaya dan meminta semua calon-calon PH berwaspada dan berhati-hati semasa berkempen.

"Perkara ini boleh berlaku di tempat lain juga dan PDRM mesti melihat keadaan ini sebagai suatu yang serius bagi mengelak perkara-perkara yang tidak diingini berlaku," katanya.