Keputusan kes Najib pinda laporan audit 1MDB 30 Januari

Najib Tun Razak - Foto Bernama
Najib Tun Razak - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa menetapkan 30 Januari tahun depan untuk keputusan sama ada Datuk Seri Najib Tun Razak dibebaskan atau dipanggil membela diri atas pertuduhan meminda laporan audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hakim Mohamed Zaini Mazlan menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan.

“Saya berterima kasih dengan hujahan semua pihak,” katanya yang turut akan memutuskan isu yang dibangkitkan oleh pihak pembelaan.

Pihak pembelaan membangkitkan isu sama ada bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Arul Kanda Kandasamy boleh diberikan indemniti atau pengecualian liabiliti undang-undang dan dibebaskan daripada tuduhan selepas dipanggil sebagai saksi pendakwaan.

Dalam kes ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram manakala Najib diwakili peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sementara Arul Kanda oleh Datuk N Sivananthan.

Pendakwaan menutup kesnya pada 7 September lalu selepas memanggil 16 saksi untuk memberikan keterangan dalam perbicaraan yang berlangsung selama 43 hari, yang bermula 18 Februari 2019.

Pada 24 Jun lalu, mahkamah membenarkan permohonan pendakwaan untuk memanggil Arul Kanda sebagai saksi bagi memberikan keterangan terhadap Najib mengikut Seksyen 63 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Pendakwaan menawarkan 18 saksi kepada pembelaan, antaranya bekas Pengerusi Jawatankuasa Kira Kira Wang Negara (PAC), Datuk Nur Jazlan Mohamed; bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad dan bekas CEO 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

Artikel Berkaitan:

Saksi utama yang dipanggil memberikan keterangan pula ialah bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN), Allahyarham Tan Sri Dr Ali Hamsa; bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dan Tan Sri Dr Madinah Mohamad.

Semasa prosiding, Sivananthan menghujahkan bahawa anak guamnya tidak menyembunyikan sebarang maklumat ketika memberi keterangan.

Beliau berkata, sepanjang dua hari menjadi saksi, Arul Kanda menjawab semua soalan yang diajukan pihak pendakwaan dengan telus.

Bagaimanapun, Sri Ram berkata, pihak pendakwaan masih ragu sama ada Arul Kanda telah membuat pendedahan secara menyeluruh.

“Kami menyerahkan kepada mahkamah untuk memutuskan saksi itu berhak mendapat indemniti dan pembebasan daripada pertuduhan bersubahat atau sebaliknya,” kata Sri Ram.

Dalam pada itu, beliau menghujahkan, Najib cuba menghalang versi awal Laporan Pengauditan Syarikat 1MDB daripada dibentangkan kepada PAC untuk menyembunyikan salah laku yang dilakukan bersama ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Untuk rekod, semasa prosiding terdahulu, mahkamah diberitahu bahawa pada 22 Februari 2016, Najib mengadakan pertemuan dengan Ketua Audit Negara ketika itu, Tan Sri Ambrin Buang bagi membincangkan laporan audit itu sebelum meminta membuat perubahan.

Justeru, Sri Ram berkata, undang-undang tidak membenarkan bekas Perdana Menteri itu memanggil Ambrin dan mengikut peruntukan perlembagaan juga, tertuduh tidak boleh mencampuri urusan Ketua Audit Negara yang bertindak secara bebas.

Namun Muhammad Shafee menghujahkan, Najib tidak pernah mengarahkan secara spesifik agar laporan dipinda.

Menurutnya, Arul Kanda ketika disoal balas turut bersetuju bahawa apa sahaja klarifikasi terhadap laporan audit disokong oleh dokumen.

"Najib bertindak sedemikian bagi mengelakkan kandungan laporan itu diputar belit secara politik," katanya.

Najib, 69, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada PAC untuk mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Arul Kanda, 45, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan tersebut bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 dan 26 Februari 2016.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 23(1) dan 24(1) Akta SPRM yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.