PRU15: Proses undi pesakit Covid-19 dilakukan dengan cepat

Proses pengundian individu yang dijangkiti Covid-19 akan dilaksanakan dengan cepat pada PRU15 bagi mengelakkan risiko penularan. - Foto hiasan (Gambar kecil: Azmi)
Proses pengundian individu yang dijangkiti Covid-19 akan dilaksanakan dengan cepat pada PRU15 bagi mengelakkan risiko penularan. - Foto hiasan (Gambar kecil: Azmi)
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Proses pengundian individu yang dijangkiti Covid-19 akan dilaksanakan dengan cepat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi mengelakkan risiko penularan.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Dr Azmi Shahrom berkata, pesakit Covid-19 perlu memaklumkan status kesihatan diri kepada pegawai kesihatan sebelum keluar mengundi.

"Petugas kesihatan asingkan pengundi positif dan mempercepatkan mereka untuk selesai mengundi," katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau proses pengundian awal di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Putrajaya pada Selasa.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai proses pengundian untuk individu positif Covid-19 pada hari undi awal dan pengundian PRU15.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, semua individu positif Covid-19 wajib memakai pelitup muka ketika membuang undi pada hari pengundian, Sabtu ini.

Pengundi positif Covid-19 adalah tidak dibenarkan menaiki kenderaan awam termasuk e-hailing dan dilarang untuk singgah di mana-mana lokasi sebelum dan selepas mengundi.

Laluan ekspres untuk anggota hidap Covid-19

Sementara itu di Sungai Buloh, seramai 1,025 anggota tentera dan keluarga masing-masing mula mula melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi awal pada PRU15.

Artikel Berkaitan:

Proses pengundian awal yang bermula seawal jam 8 pagi itu bertempat di Dewan Serbaguna, Kem Sungai Buloh.

Turut serta dalam proses membuang undi itu ialah Panglima 11 Briged, Brigedier Jeneral Fazal Abdul Rahman.

Dua anggota tentera yang disahkan positif Covid-19 tidak ketinggalan menunaikan tanggungjawab dan mereka diberi keutamaan dan laluan 'ekspres'

Penyelia Pusat Mengundi, Left Kolonel Mohd Kamarul Arifin Mohamed Azahar berkata, selain itu seorang anggota yang bertongkat juga diberi keutamaan.

"Kami sediakan kaunter khas kesihatan bagi memudahkan pengundian. Mereka datang mengundi dan terus balik," katanya.

Seramai 265,531 pengundi dalam kalangan anggota polis dan tentera menjadi kumpulan pertama membuang undi pada PRU15 pada Selasa.

PRU15 menyaksikan seramai 21,173,638 orang pemilih berdaftar dijangka akan keluar mengundi berdasarkan Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) terkini sehingga Daftar Pemilih Tambahan Bulan Ogos 2022 yang dikemas kini sehingga 9 Oktober lalu.

Bagi Parlimen Sungai Buloh, seramai 2,388 pengundi awal terdiri dari anggota tentera dan polis.

Parlimen Sungai Buloh menyaksikan pertembungan tujuh penjuru iaitu Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang mewakili Barisan Nasional (BN), Datuk R Ramanan (Pakatan Harapan), Mohd Ghazali Md Hamin (Perikatan Nasional), Mohd Akmal Mohd Yusof (Gerakan Tanah Air) dan Ahmad Jufliz Faiza (Parti Rakyat Malaysia).

Dua calon Bebas pula adalah Syed Abdul Razak Syed Long Al Sagoff, dan Nurhaslinda Basri.

Pada PRU14 yang lalu, kerusi Parlimen Sungai Buloh disandang oleh R Sivarasa daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan majoriti 26,634 undi.

Untuk rekod, pada PRU14 yang lalu, daftar pemilih untuk Parlimen ini adalah 90,707 dan jumlah itu bertambah menjadi 158,090 bagi PRU15.

Daripada jumlah berkenaan, 9.25 peratus pemilih adalah golongan belia berumur 18 hingga 20 tahun.