Atlet paralimpik catur perlu RM10,000 setahun

Norazlin (kiri) dan Faris Iqbal (kanan) menunjukkan pingat emas yang dimenangi di Para Sukma 2022 di Kuala Lumpur.
Norazlin (kiri) dan Faris Iqbal (kanan) menunjukkan pingat emas yang dimenangi di Para Sukma 2022 di Kuala Lumpur.
A
A
A

ATLET paralimpik catur memerlukan penajaan dana sekurang-kurangnya RM10,000 setahun bagi setiap atlet.

Presiden Persatuan Catur Orang Kurang Upaya (OKU) Kelantan, Norazlin Juarih berkata, altet catur kekurangan dana dan penajaan yang diperlukan bagi persediaan berdepan satu-satu temasya.

“Dana acara catur ini tidak seberapa apatah lagi kalau catur OKU. Sebab itu saya sendiri ambil inisiatif kumpul dana melalui penjualan buku catur.

“Acara catur tak memerlukan modal terlalu banyak berbanding sukan lain tetapi tetap diperlukan untuk persiapan yang lebih kompetetif sekitar RM10,000 setahun bagi setiap atlet,” katanya ketika ditemui di Akademi Catur Ariez Azman di Chempaka di sini, pada Isnin.

Katanya, dana tersebut diperlukan bagi persediaan latihan harian, bayaran jurulatih dan material seperti kelas dalam talian yang bertauliah.

Akademi catur ini sendiri sangat membantu dari segi persediaan tempat latihan dan persiapan untuk pertandingan.

“Selainnya, kerajaan negeri dan Persekutuan juga memberikan dana namun belum mencukupi untuk meningkatkan lagi prestasi atlet-atlet paralimpik catur,” katanya.

Bekas pensyarah Perakaunan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada tahun 2012 itu turut memenangi pingat emas kategori catur berpasukan bersama Faris Iqbal Ahmad, 20, di Para Sukan Malaysia (Para Sukma) 2022 pada 6 November lalu.

Artikel Berkaitan:

Kedua-duanya OKU Cerebral Palsy (CP) yang menyebabkan mereka berdepan masalah pergerakan kerana otot gagal berfungsi dengan baik akibat kecederaan pada otak.

Norazlin yang mula berkecimpung dalam acara catur sejak berusia 16 tahun turut mendapat pingat perak bagi kategori individu pada kejohanan tersebut.

Dia juga pemenang pingat emas Para Sukma 2016 di Sarawak dan pernah mewakili Malaysia di temasya Sukan Para Asean di Singapura pada 2015 serta di Kuala Lumpur tahun 2017.

Atlet paralimpik tersebut dijangka menyertai Sukma di Johor pada 2024 dan jika terpilih akan mewakili Malaysia ke temasya Sukan Para Asean 2023 di Cambodia pada Jun tahun itu tertakluk jika acara catur dipertandingkan.