PRU15: Jumaat, Sabtu hari kelepasan am legakan pengundi

Laporan akhbar Sinar Harian pada Selasa.
Laporan akhbar Sinar Harian pada Selasa.
A
A
A

PENGUMUMAN Jumaat dan Sabtu diisytiharkan sebagai hari kelepasan am ternyata satu tindakan baik oleh kerajaan dan memberi kelegaan kepada pengundi yang akan mengundi nanti.

Ini kerana dengan pengumuman itu, ia memudahkan pergerakan rakyat atau pengundi ke lokasi mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Selain itu, dengan pengumuman itu juga, ia akan dapat menaikkan jumlah peratusan pengundian dalam PRU15.

Jika dilihat kepada peratusan pengundian pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka sebelum ini adalah amat rendah dan jauh tersasar daripada apa yang dijangkakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Sebagai contoh, semasa PRN Johor lalu, peratusan keluar mengundi hanyalah sebanyak 54.92 peratus berbanding yang disasarkan oleh SPR iaitu 70 peratus.

Di samping itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga memaklumkan 30 konsesi lebuh raya telah bersetuju menawarkan kadar tol percuma selama dua hari sempena PRU15, bagi memudahkan pengundi pulang ke kampung halaman untuk mengundi.

"Tol percuma tersebut akan bermula dari jam 12.01 tengah malam 18 November (Jumaat) hingga 11.59 malam pada hari Sabtu, 19 November melibatkan semua kenderaan jenis persendirian, Kelas 1 sahaja dianggarkan sekitar 90 peratus daripada jumlah keseluruhan kenderaan di lebuh raya," kata Ismail Sabri pada Isnin.

Sebelum ini, Malaysia Airlines juga telah menawarkan diskaun 20 peratus tambang bagi memudahkan pergerakan pengundi melalui pengangkutan udara.

Artikel Berkaitan:

Syarikat penerbangan itu juga akan menambah 26 penerbangan dan menaik taraf 16 perkhidmatan domestik kepada pesawat badan lebar A330 bagi menampung lonjakan permintaan ke beberapa laluan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Tidak ketinggalan Firefly Airlines akan menambah sehingga 70 penerbangan dari Subang dan Pulau Pinang ke laluan domestik terpilih mulai 17 hingga 20 November 2022 dengan diskaun tambang masing-masing 24 peratus dan 10 peratus bagi penerbangan jet dan ATR.

Dengan pengumuman tol percuma selama dua hari dan diskaun penerbangan ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban kos yang ditanggung oleh pengundi apabila pulang ke kawasan masing-masing untuk menunaikan kewajipan.

Jika mahu mengurangkan kos lagi, mereka juga boleh berkongsi kereta atau car pool dan ini boleh mengurangkan kesesakan di jalan raya.