Malaysia Airlines, Firefly tawar diskaun, tambah penerbangan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM – Malaysia Airlines dan Firefly mengumumkan akan menambah jumlah penerbangan ke destinasi domestik selain menawarkan diskaun tambang kepada pengundi susulan pengumuman tarikh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang dibuat oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Malaysia Airlines dalam satu kenyataan berkata, syarikat penerbangan itu melancarkan kempen ‘Jom Balik Mengundi’ yang menawarkan 20 peratus diskaun tambang bagi memudahkan pergerakan pengundi melalui pengangkutan udara.

“Untuk tempahan mulai hari ini hingga 19 November 2022 bagi perjalanan daripada 11 hingga 27 November 2022.

“Syarikat juga akan menambah 26 penerbangan dan menaik taraf 16 perkhidmatan domestik bagi pesawat A330 untuk menampung lonjakan permintaan ke beberapa laluan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

“Promosi diskaun 20 peratus terpakai pada semua kategori tambang yang terdiri daripada Lite, Basic dan Flex untuk Kelas Ekonomi di samping Basic dan Flex untuk Kelas Perniagaan serta tersedia untuk tempahan melalui www.malaysiaairlines.com,” katanya pada Khamis.

SPR sebelum ini menetapkan 19 November depan sebagai Hari Pengundian bagi PRU15 serentak dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) N66 Bugaya.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh turut memaklumkan penamaan calon ditetapkan pada 5 November.

Sementara itu, Firefly Airlines pula akan menambah sehingga 70 penerbangan dari Subang ke Pulau Pinang bagi laluan penerbangan domestik terpilih daripada 17 November hingga 20 November 2022 dengan diskaun tambang 24 peratus dan 10 peratus untuk jet dan ATR.

Artikel Berkaitan:

“Promosi tersedia untuk tempahan mulai hari ini hingga 24 Oktober 2022 untuk perjalanan daripada 1 November 2022 hingga 30 Jun 2023,” katanya.