PRU15: Rakyat sudah muak dengan isu salah guna kuasa

Nik Muhammad Zawawi (tengah) ketika merasmikan Program Semarak Tani di Bandar Baru Pasir Puteh, pada Isnin.
Nik Muhammad Zawawi (tengah) ketika merasmikan Program Semarak Tani di Bandar Baru Pasir Puteh, pada Isnin.
A
A
A
PASIR PUTEH - Rakyat negara ini sudah muak dengan pemerintahan yang mempunyai isu rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa, kata Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Nik Muhammad Zawawi Salleh.

Katanya, sudah tiba masanya rakyat berubah ke arah sebuah negara yang lebih bersih dan stabil.

" Misi kita sekarang ialah beri perkhidmatan terbaik kepada rakyat melalui Perikatan Nasional (PN) yang bersih dan berintergriti.

"Kita akan berusaha sedaya upaya supaya kita berjaya menuju ke arah itu. Kita nak rakyat juga punyai kekuatan sendiri untuk melonjakkan ekonomi, perpaduan dan seumpamanya supaya satu masa negara kita akan jadi negara maju yang bersih dan stabil," katanya.



Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Semarak Tani, di Bandar Baru Pasir Puteh di sini, pada Isnin yang turut dihadiri Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kelantan, Datuk Kamaruddin Md Nor.

Mengulas berhubung persediaannya di Parlimen Pasir Puteh, beliau memaklumkan, Pas mempunyai lebih kekuatan dengan sokongan padu daripada Bersatu.

Ujarnya, kerjasama kedua-dua parti itu banyak mengubah corak politik di Pasir Puteh.

"Kita merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Bersatu yang bekerjasama dengan Pas, dan bukannya memberi seribu satu macam alasan bila diajak bersama," katanya.

Dalam pada itu, Kamarudin memaklumkan, kepimpinan Nik Muhammad Zawawi dilihat mampu mengekalkan mandat di parlimen berkenaan dalam Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) ini.

"Saya yakin, kita akan menang di Pasir Puteh, kita akan menang besar. Kita sudah bekerjasama sebagai satu pasukan, dan akan ada program tokok tambah, yang wajib dan sunat kita iring sekali," katanya.
Artikel Berkaitan: