Penyamun kedai emas terlibat kemalangan

Beg berisi barang kemas, topeng dan pisau ditemui di lokasi kemalangan motosikal yang ditunggang suspek. Foto ini dikongsi oleh Presiden Persatuan Kepolisan Komuniti Malaysia, Kuan Chee Heng di Facebooknya hari ini.
Beg berisi barang kemas, topeng dan pisau ditemui di lokasi kemalangan motosikal yang ditunggang suspek. Foto ini dikongsi oleh Presiden Persatuan Kepolisan Komuniti Malaysia, Kuan Chee Heng di Facebooknya hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Nasib tidak menyebelahi tiga penyamun apabila salah seorang daripada mereka terlibat kemalangan jalan raya semasa menunggang motosikal dalam usaha meloloskan diri selepas melarikan beg berisi barang kemas dalam kejadian samun, pagi kelmarin.

Kemalangan berlaku di hadapan Stesen Minyak Petron, Kepong di sini menyebabkan beg berisi barang kemas berkenaan tercicir ketika suspek diselamatkan seorang lagi rakannya sebelum mereka semua melarikan diri.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, kejadian samun berlaku di sebuah kedai emas di sebuah pasar raya di kawasan Manjalara, Kepong di sini dan pihaknya menerima maklumat kejadian itu sekitar jam 11.44 pagi.

Menurutnya, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul bergegas ke lokasi sebaik menerima laporan dan turut menerima maklumat tentang insiden kemalangan berkenaan.

"Bagaimanapun, suspek berjaya melarikan diri dengan motosikal lain dibantu oleh seorang individu yang dipercayai merupakan rakan sejenayah.

"Suspek meninggalkan motosikalnya jenis Yamaha LC warna hitam merah dengan nombor pendaftaran BMA 497.

"Kemalangan ini dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berkenaan dan dash camera kereta pemandu lain jalan raya," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Mazlan berkata, di lokasi kemalangan, polis menemui sebuah beg berwarna hitam mengandungi sejumlah barang kemas yang dipercayai dirompak, sebilah pisau, sepasang sarung tangan warna biru dan topeng muka berwarna putih.

Artikel Berkaitan:

"Sementara siasatan di tempat kejadian mendapati suspek masuk melalui pintu kecemasan di tingkat satu pasar raya tersebut dengan menggunakan pemutar skru.

"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan serta menangkap suspek sedang giat dijalankan.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menyalurkannya dengan menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999, Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di talian 03-4048 2225 atau mana-mana balai polis berdekatan," katanya.