PPS penuh: Mangsa terpaksa sewa rumah, tinggal dalam lori

Keluarga Ramlah tinggal di dalam lori selepas rumah dinaiki air ekoran banjir di Kampung Tersang, Rantau Panjang.
Keluarga Ramlah tinggal di dalam lori selepas rumah dinaiki air ekoran banjir di Kampung Tersang, Rantau Panjang.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Mangsa banjir di sini mendakwa mereka terpaksa menyewa rumah tumpangan dan tinggal di dalam lori ekoran pusat pemindahan sementara (PPS) penuh.

Seorang ibu tunggal, Nur Farahida Mohd Shakri, 30, dari Kampung Tersang di sini berkata, dia terpaksa mengeluarkan belanja sebanyak RM100 bagi menyewa rumah tumpangan selama tujuh hari.

"Pada awalnya kami seramai sembilan orang diminta ke PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh namun disebabkan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19, ia sudah penuh.

"Kemudian diminta pula ke PPS SK Gual Tinggi, juga penuh. Jadi disebabkan tiada pilihan kami terpaksa menyewa, nasib baik pemilik rumah tumpangan prihatin dan berikan harga yang murah," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Nur Farahida mengayuh sampan untuk melihat keadaan rumahnya di Kampung Tersang, Rantau Panjang.
Nur Farahida mengayuh sampan untuk melihat keadaan rumahnya di Kampung Tersang, Rantau Panjang.

Dia terpaksa berbuat demikian kerana salah seorang adiknya yang berusia 25 tahun menghidap kanser usus, manakala anak saudara berumur lapan tahun pula menghidapi kanser darah.

Ujarnya, rumah mereka ditenggelami air Sungai Golok yang memerlukan mereka berpindah.

Dalam pada itu, warga emas, Ramlah Mohamad, 64, bersama tiga anak dan empat cucunya memilih untuk tinggal di dalam lori yang dipinjam daripada saudara mereka.

Artikel Berkaitan:

"Ini pilihan terakhir kami walaupun tidak selesa. Ini disebabkan lokasi PPS sangat jauh dari Kampung Tersang.

"Kami hendak berulang-alik menjenguk rumah, bimbang ada kecurian atau kerosakan disebabkan air banjir yang deras," katanya.

Dia memberitahu, situasi tersebut terpaksa dilalui walaupun berdepan kesukaran kerana hanya itu pilihan terbaik.

Pada jam 2 petang Isnin, banjir di Kelantan bertambah buruk apabila mangsa yang dipindahkan mencecah 2,038 orang membabitkan sebanyak lapan PPS di dua kawasan iaitu Pasir Mas dan Rantau Panjang.