PRU15: 31 kertas siasatan, empat individu ditahan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 31 kertas siasatan berhubung kesalahan semasa berkempen untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dibuka dan empat individu ditahan pada Ahad.

Pengarah Operasi PRU15 Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, tujuh kertas siasatan dibuka di Perak, Kedah (lima), Johor (empat), Selangor (tiga), masing-masing satu kes di Kelantan, Pahang dan Sabah, manakala satu di Kuala Lumpur dan Sarawak.

Kes pertama melibatkan seorang lelaki ditahan kerana mencabut bendera BN di sepanjang Jalan Persiaran Pengkalan Timur, Perak.

"Pengadu turut merakam tindakan lelaki itu dan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan pihak polis. Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4(A)(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya (AKPR) 1954," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Hazani berkata, kes kedua melibatkan seorang lelaki ditahan selepas disyaki terbabit dalam kes khianat membakar khemah bilik gerakan sebuah parti politik di Taman Mutiara, Batu Pahat, Johor.

"Suspek dipercayai dalam keadaan mabuk ketika tangkapan dilakukan dan kes disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan," katanya.

Beliau berkata, kes ketiga pula melibatkan seorang lelaki ditahan kerana disyaki mencabut dan memotong gegantung Perikatan Nasional yang digantungkan di pokok di Batu Pahat, Johor.

"Pengadu mendapati tiga gegantung parti itu telah dibuang di dalam longkang dan kes itu juga disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya lagi, kes keempat melibatkan seorang lelaki ditahan kerana merosakkan poster dan bendera calon Parlimen Santubong di tepi jalan Kampung Boyan di Kuching, Sarawak.

"Laporan telah dibuat untuk tindakan selanjutnya dan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan," katanya.

Hazani berkata, sebanyak 2,211 permit ceramah dikeluarkan PDRM pada Ahad

"Empat ceramah tanpa permit pula direkodkan secara keseluruhan, iaitu tiga di Johor dan satu di Perlis," katanya.