Suspek bunuh teman wanita sudah sedar, dipantau rapi - Polis

Seorang wanita yang dilaporkan tidak pulang ke rumah sejak beberapa hari lalu ditemui maut di sebuah rumah dipercayai dibunuh kekasihnya.
Seorang wanita yang dilaporkan tidak pulang ke rumah sejak beberapa hari lalu ditemui maut di sebuah rumah dipercayai dibunuh kekasihnya.
A
A
A

BATU PAHAT – Suspek lelaki yang disyaki membunuh teman wanitanya sebelum mengelar leher dan pergelangan tangan sendiri di sebuah rumah sewa di Taman Damai II, di sini, Selasa lalu, dilaporkan sudah sedar namun perlukan rawatan rapi.

Lelaki berusia 44 tahun yang juga penganggur itu kini menerima rawatan di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI).

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, keadaan suspek dilaporkan stabil namun masih memerlukan pemantauan rapi oleh pasukan perubatan.

“Suspek telah sedar tetapi tindak balasnya masih perlahan. Justeru, polis belum dapat merakam keterangannya dan masih menunggu keadaannya pulih bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan,” katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Menurut beliau, kejadian terbongkar selepas polis menyerbu sebuah rumah sewa pada kira-kira jam 12.30 tengah malam Khamis lalu dan menemui seorang wanita berusia 41 tahun dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Penemuan mayat mangsa itu dibuat susulan laporan ahli keluarga yang memaklumkan gagal menghubungi wanita berkenaan sejak tiga hari sebelum kejadian.

Sebelum itu, media melaporkan seorang wanita ditemukan maut manakala teman lelakinya cedera parah dengan kesan kelar, apabila kedua-duanya ditemui baring bersebelahan di atas katil dalam sebuah bilik di Taman Damai, awal pagi Jumaat.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, kedua-dua mangsa ditemukan pada jam 12.30 pagi setelah polis bertindak polis memecahkan pintu rumah berkenaan yang didapati berkunci dari dalam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan siasatan lanjut masih diteruskan.

Artikel Berkaitan:

 

Ringkasan AI

  • Suspek lelaki disyaki membunuh teman wanitanya di sebuah rumah sewa di Taman Damai II, Batu Pahat
  • Lelaki berusia 44 tahun itu kini dirawat di Hospital Sultanah Nora Ismail dan dilaporkan dalam keadaan stabil
  • Kejadian terbongkar apabila polis menyerbu rumah sewa tersebut dan menemui seorang wanita berusia 41 tahun tidak sedarkan diri
  • Penemuan mayat mangsa dibuat susulan laporan ahli keluarga yang gagal menghubungi wanita itu selama tiga hari
  • Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!