PRU15: Gigih kempen walau dilabel 'tiada masa depan'

Abe Wae (tiga dari kanan) tidak gentar dan terus berkempen bagi mencapai kemenangan pada PRU15 di Parlimen Pengkalan Chepa.
Abe Wae (tiga dari kanan) tidak gentar dan terus berkempen bagi mencapai kemenangan pada PRU15 di Parlimen Pengkalan Chepa.
A
A
A

KOTA BHARU - Calon Bebas Parlimen Pengkalan Chepa, Mohamad Redzuan Razali atau Abe Wae tetap bersemangat dan gigih berkempen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) walaupun dilabel 'tiada masa depan'.

"Sebagai calon Bebas saya tidak terkesan dengan kata-kata tersebut.

"Saya bukan bertanding sekadar suka-suka atau dengan arahan pihak tertentu tetapi mahu berkhidmat kepada masyarakat di Pengkalan Chepa," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Menurut beliau, meskipun bertanding di kubu kuat Pas dan berdepan tiga lagi parti politik gergasi tanah air, ia tidak melunturkan semangatnya.

Beliau akan terus turun padang bertemu pengundi seramai mungkin mengikut jadual yang telah disusun.

Mohamad Redzuan akan memberi fokus kepada kebajikan, masalah rakyat serta membawa perubahan di Pengkalan Chepa ke arah lebih baik.

"Melihat kepada respons baik yang diberikan penduduk dan pengundi Pengkalan Chepa, seolah-olah memberi isyarat mereka mahu perubahan drastik perlu dilakukan di Parlimen ini," katanya.

Mohamad Redzuan akan berdepan dengan penyandang kerusi Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Ahmad Marzuk Shaary (Pas), Nik Faizah Nik Othman (PH), Dr Mohd Hafiezulniezam Mohd Hasdin (BN) dan Wan Ahmad Nasir Wan Ismail (GTA).

Artikel Berkaitan:

Pada PRU14 lalu, Ahmad Marzuk memenangi kerusi Parlimen Pengkalan Chepa dengan majoriti 13,232.