PRU15: Jangan hanya mengadu, rakyat perlu putuskan kedudukan mereka

Mohd Shafie (tiga kanan) simbolik memasukkan kertas undi ke dalam kotak undi selepas berakhir Ceramah Umum Warisan Parlimen Kapar di sini pada Ahad.
Mohd Shafie (tiga kanan) simbolik memasukkan kertas undi ke dalam kotak undi selepas berakhir Ceramah Umum Warisan Parlimen Kapar di sini pada Ahad.
A
A
A

KAPAR - Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menggesa rakyat jangan hanya mengadu sebaliknya memutuskan kedudukan mereka pada Pilihan Raya Umum ke-15.

Beliau juga meminta rakyat tidak menyalahkan wakil rakyat yang dipilih pada pilihanraya lalu apabila gagal membawa suara mereka kerana mereka masih berpeluang untuk melakukan perubahan.

"Ke mana negara ini mahu kita bawa kerana perubahannya perlu dari atas, rakyat jangan hanya 'complaint', musimnya sekarang rakyat putuskan kedudukan mereka agar kehidupan mereka cukup baik.

"Jangan bising tentang YB (Yang Berhormat) pasal YB kita yang undi, jangan menyalahkan YB, itu tidak bagus kerana inilah masanya kamu perlukan perubahan," katanya ketika berucap dalam Ceramah Umum Warisan Parlimen Kapar di sini pada Ahad.

Dalam pada itu, Mohd Shafie juga yakin penyertaan parti berkenaan pada PRU15 kali ini termasuk di Semenanjung mampu memberikan saingan kepada parti lain malah turut mampu menawan Putrajaya.

"Kita yakin, sebab kenapa kita bertanding dan (kenapa) tidak boleh perintah. Kita boleh perintah (kerana) di Sabah ada 25 kerusi di Sarawak ada 31 kerusi kedua negeri itu sudah 56 kerusi.

"Kalau Tun Dr Mahathir Mohamad boleh menjadi Perdana Menteri dengan 13 MP (ahli Parlimen) sahaja tak kan kita tidak boleh tadbir negara dengan 25 ahli Parlimen, jadi jangan lemah semangat," katanya.

Beliau sehubungan itu menggesa jentera parti itu bukan setakat berusaha keras dengan jiwa yang kental tetapi perlu diiringi dengan doa agar kejayaan dapat diraih oleh Warisan pada PRU15 kali ini.

Artikel Berkaitan: