PRU15: Anwar bertanding sebab dicalonkan Perdana Menteri

Anwar (tengah) bersalaman dengan tetamu Kenduri Rakyat PH di Kampung Mengkuang Layar pada Ahad.
Anwar (tengah) bersalaman dengan tetamu Kenduri Rakyat PH di Kampung Mengkuang Layar pada Ahad.
A
A
A


ARAU - Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui enggan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) jika bukan disebabkan beliau dicalonkan sebagai Perdana Menteri oleh gabungan tersebut.

Anwar yang juga calon Parlimen Tambun berkata, beliau tidak mempunyai masalah untuk melepaskan pencalonan itu kerana yakin ramai pemimpin muda dalam parti itu yang berkelayakan.

“Di Arau ini, kita (PH) nak lawan Shahidan (Datuk Seri Shahidan Kassim) yang tak tahu parti mana. Dia kawan lama saya tapi tak boleh, tak boleh (terus bertanding). Kalau nak bagi nasihat, saya akan kata sudah.

“Saya pun kalau bukan kerana jadi calon Perdana Menteri (PH), saya dah tak ambil (bertanding) dah, cukup. Bagilah dekat orang muda kerana ramai yang cerdik tapi oleh kerana mereka (PH) bagi jadi calon Perdana Menteri, gagah (bertanding) jugalah.



“Oleh sebab Shahidan bukan calon Perdana Menteri, tak payahlah. Dia calon Perdana Menteri, Menteri atau mungkin dia Mursyidul Am Pas yang baharu,” katanya ketika berucap di Kenduri Rakyat PH di Kampung Mengkuang Layar pada Ahad.

Dalam perkembangan sama, Anwar turut menafikan dakwaan beliau terlalu kemaruk jawatan Perdana Menteri.

“Ramai cakap Anwar gila nak jadi Perdana Menteri sedangkan semua orang tahu kalau saya nak jawatan itu, sejak tahun 1999 lagi saya dah boleh jadi Perdana Menteri. Bukan susah pun, cium sahaja tangan orang tua itu (Tun Dr Mahathir Mohamad), selesailah.

“Dan bukankah 15 Ahli Parlimen UMNO sebelum ini turut nyata sokongan kepada saya untuk jadi Perdana Menteri dan mereka turut mempersembahkan perkara itu kepada Yang Dipertuan Agong.

“Tapi saya (ambil pendirian) tidak tandatangan pada dokumen sokongan berkenaan kerana UMNO menetapkan syarat kalau nak jadi Perdana Menteri, saya kena selamatkan dulu kes-kes mahkamah pemimpin mereka. Kalau saya ketagih sangat nak jadi Perdana Menteri, mesti saya dah tandatangan dokumen itu,” ujarnya.
Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!