Mangsa banjir meningkat 2,388 orang di enam negeri

Anggota APM melakukan pemantauan di kawasan berpotensi banjir serta memantau paras air Sungai Golok di Rantau Panjang. - Gambar Hiasan (Kenyataan media Nadma)
Anggota APM melakukan pemantauan di kawasan berpotensi banjir serta memantau paras air Sungai Golok di Rantau Panjang. - Gambar Hiasan (Kenyataan media Nadma)
A
A
A

SHAH ALAM - Jumlah mangsa banjir di seluruh negara meningkat kepada 2,373 orang berbanding 1,359 dalam tempoh 24 jam di enam negeri membabitkan Pulau Pinang, Perak, Selangor, Kelantan, Johor dan Melaka setakat jam 4 petang pada Ahad.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dalam kenyataan di laman Facebooknya berkata, Kelantan merekodkan jumlah tertinggi seramai 1,468 mangsa, diikuti Selangor (393), Johor (306), Perak (108), Pulau Pinang (54) dan Melaka (44).

Di Kelantan, seramai 510 keluarga ditempatkan di tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) membabitkan kawasan Pasir Mas.

Seramai 95 keluarga ditempatkan di enam PPS melibatkan kawasan Klang dan Kuala Selangor di Selangor manakala Pulau Pinang merekodkan 11 keluarga ditempatkan di satu PPS.

Bagi Johor pula, seramai 70 keluarga ditempatkan di enam PPS manakala di Perak, sejumlah 32 keluarga ditempatkan di satu PPS.

Selain itu, seramai 15 keluarga dipindahkan ke dua PPS kawasan Alor Gajah, Melaka.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah mengeluarkan notis kesiapsiagaan kemungkinan banjir kilat bagi beberapa kawasan di Terengganu, Selangor, Pulau Pinang, Perak, Kedah, Johor, Kuala Lumpur dan Pahang.

“Diharapkan penduduk yang berada di kawasan sekitar bersiap siaga untuk menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut JPS, terdapat tiga sungai berada di paras bahaya iaitu Long Jegan, Miri, Sarawak; Rantau Panjang, Pasir Mas, Kelantan dan Sungai Melaka di Batu Hampar, Melaka setakat jam 3 petang.

Terdapat lapan sungai di mana bacaan air berada di tahap amaran iaitu Long Teru dan Marudi, Miri, Sarawak; Sungai Sertim di jambatan Padang Gudang, Bera, Pahang; Sungai Selangor di Rantau Panjang, Kuala Selangor, Selangor.

Selain itu, Sungai Siam di Kampung Sungai Siam, Kulai, Johor; Sungai Lenik di Ladang Chaah, Segamat, Johor; Parit Keliling di Kampung Pasir, Johor Bahru, Johor dan Sungai Linggi di Pekan Linggi, Port Dickson, Negeri Sembilan.