[VIDEO] 1,000 peket kuih RM1 licin dalam tempoh dua jam setiap hari

Empat anak perempuan Siti Maimunah menunjukkan sebahagian daripada 1,000 peket kuih-muih yang dijual dengan harga RM1.
Empat anak perempuan Siti Maimunah menunjukkan sebahagian daripada 1,000 peket kuih-muih yang dijual dengan harga RM1.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang peniaga kuih bersama empat anak perempuannya tidak menyangka lebih 1,000 peket kuih-muih yang dijual dengan harga RM1 licin dalam masa dua jam setiap hari di Kampung Tanjong Baru, Taman Buaya di sini.

Siti Maimunah Deraman, 65, berkata, walaupun berdepan kenaikan harga bahan mentah seperti telur, gula, tepung, beras pulut dan lain-lain, namun ia bukan halangan buat mereka menjual dengan harga tersebut.

"Kami beli bahan-bahan mentah secara pukal, jadi ia boleh menjimatkan kos perbelanjaan.

"Walaupun untung sedikit, yang paling menggembirakan apabila melihat ramai yang boleh menikmati aneka jenis kuih-muih untuk berbuka puasa," katanya kepada pemberita.

Menurutnya, peningkatan kos sara hidup menyebabkan ramai yang terkesan sehingga berkira untuk berbelanja.

Siti Maimunah (kanan) dan anak-anak tidak menang tangan melayan pelanggan di kedai mereka di Kampung Tanjong Baru, Taman Buaya, Kota Bharu.
Siti Maimunah (kanan) dan anak-anak tidak menang tangan melayan pelanggan di kedai mereka di Kampung Tanjong Baru, Taman Buaya, Kota Bharu.

Siti Maimunah turut berharap dengan lebih 20 jenis kuih-muih yang dibuat secara bergotong-royong bersama dengan anak-anaknya dapat memeriahkan sambutan Ramadan tahun ini.

Siti Maimunah memberitahu, antara jenis kuih yang dijual ialah agar-agar, buah melaka, seri muka, kek batik, roti sosej dan bermacam-macam lagi.

"Setiap hari kami turut menerima tempahan untuk disedekahkan kepada golongan asnaf.

"Bukan itu sahaja, kadang-kadang terkilan apabila ada pelanggan yang tidak sempat membeli kuih kerana datang lewat sedikit sekitar jam 6 petang," katanya.

Siti Maimunah turut bertekad untuk kekal bertahan menjual aneka kuih dengan harga RM1 pada masa hadapan bagi membantu golongan memerlukan sambil bersedekah.