'Saya bukan seksis, calon lelaki sesuai di Parlimen Sik'

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

JERLUN - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menjelaskan kenyataannya berhubung Parlimen Sik memerlukan seorang ahli Parlimen lelaki dibuat dalam keadaan konteks kawasan tersebut dan bukannya beliau merendahkah keupayaan calon wanita.

Menurutnya, kenyataan dibuatnya dalam satu program berdasarkan geografi Parlimen itu yang menuntut kudrat seorang ahli Parlimen lelaki yang perlu berada di dalam kawasan tanpa mengira waktu.

Ceramah saya itu dalam bahasa (dialek) kampung dan dalam konteks Sik yang mempunyai geografi, sosio-ekonomi, budaya, geopolitik, bentuk muka bumi, sikap penduduk, kawasan luar bandar, kawasan hutan dan mempunyai jarak jauh.

"Kesesuaian calon yang hendak diundi di Sik adalah calon lelaki. Itu satu hakikat, bukan saya seksis. Selama ini Ahli Parlimen Sik semua lelaki termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), " katanya pada sidang akhbar selepas program Ceramah Umum Pilihan Raya ke-15 (PRU15) Perikatan Nasional (PN), dekat sini pada malam Sabtu.

Beliau berkata demikian mengulas reaksi pelbagai pihak berhubung kenyataannya dalam satu program yang seolah-olah mempertikai keupayaan wanita untuk menjadi ahli Parlimen di Sik.

Jelasnya, momentum Perikatan Nasional (PN) sedang berada dalam keadaan baik dan lawan sedang mencari isu atapun kesilapan yang boleh digunakan untuk menganggu kempen gabungan parti tersebut.

"Dalam sidang akhbar ini pun orang sedang cari kesilapan. Desa️kan minta maaf kepada saya itu,kena faham dalam bahasa Sik lah, dipetik di luar konteks kononnya saya ini memperlekehkan wanita.

"Saya pun mengaku yang cerdik sekarang ramai orang perempuan masuk universiti, Tapi dalam keadaan di Sik ahli Parlimen kena seorang lelaki," ujar Muhammad Sanusi.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Muhammad Sanusi yang juga Pengarah Pilihanraya Pas memohon maaf berhubung kenyataan Ketua Pemuda Pas Sik, Mohd Shahiful Mohamad Nasir yang sebelum ini mengeluarkan kenyataan bahawa mengundi BN dan Pakatan PH akan masuk neraka.

Menurutnya, Mohd Shahiful sudah pun memohon maaf melalui video yang dibuatkan melalui media sosial susulan kenyataannya itu.

"Pemuda Pas itu sudah minta maaf, dia terlanjur kata, saya pun tengok video itu. Saya rasa banyak orang melakukan kesilapan sepanjang hidup kita dan alhamdulillah masyarakat Malaysia adalah pemaaf.

"Saya mengaku dia memang silap, saya pun nak minta maaf bagi Pas Kawasan Sik Pas, kawasan Sik dan pemuda itu adalah orang Sik. Saya harap dia dapat dimaafkanlah," ujar beliau lagi.