Nafuzi beri bayangan tinggalkan Sang Penyu

Nafuzi
Nafuzi
A
A
A

PENGENDALI Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain memberi bayangan akan meninggalkan tugas membimbing skuad Sang Penyu sebaik kontraknya tamat pada 30 November ini.

Jurulatih berusia 44 tahun itu mengakui terkilan dan kecewa dengan sikap tidak profesional pihak pengurusan Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB) berhubung tawaran lanjutan kontrak yang diserahkan pada 29 Oktober lalu.

Katanya, surat tawaran lanjutan kontrak itu bertarikh 27 Oktober namun beliau hanya menerimanya dua hari kemudian iaitu pada 29 Oktober oleh 'kitman' pasukan di padang latihan.

Saya rasa mungkin saya jurulatih pertama di Malaysia yang diberikan tawaran lanjutan kontrak oleh 'kitman'. Sebagai kelab profesional sepatutnya perlu ada perbincangan antara kami namun ia tidak berlaku.

"Jika tidak mahu mengekalkan khidmat saya, mereka seharusnya lakukan dengan cara terhormat dan baik. Sebaliknya apa yang dibuat seperti melepaskan batuk di tangga," katanya pada sidang akhbar selepas perlawanan suku akhir Piala Malaysia, di sini, pada malam Sabtu.

Nafuzi berkata, beliau akan menyerahkan jawapan berhubung tawaran kontrak itu kepada pengurus pasukan itu pada Isnin.

"Tempoh 14 hari diberikan kepada saya tamat hari ini (semalam). Jadi saya akan serah jawapan esok (hari ini). Apa jua keputusan adalah yang terbaik untuk semua pihak.

"Apa jua keputusan saya esok (hari ini) tidak akan menjejaskan persiapan kami dan saya berjanji kepada penyokong setia TFC untuk membawa pasukan ini ke final Piala Malaysia," ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Nafuzi turut memberitahu, beliau tidak dipanggil untuk berbincang secara bersemuka bersama pihak pengurusan mengenai hala tuju, persiapan atau perancangan musim baharu bagi memantapkan pasukan tersebut.

Selain itu, katanya, indeks prestasi utama (KPI) yang diletakkan juga tidak mengambil kira pandangannya, malah beliau mengakui situasi sama turut dialami hujung tahun lalu.

"Bagi saya tidak timbul isu gaji, sebaliknya saya ingin melihat sejauh mana saya dan pemain dihargai setelah muncul naib juara Liga Super dan Piala FA serta mara ke Piala AFC.

"Bagi saya, sambung (kontrak) atau tidak adalah lumrah buat pemain mahupun jurulatih. Namun sebagai kelab yang diuruskan orang profesional, ini tidak sepatutnya berlaku," katanya.