Karnival Jualan Keluarga Peladang meriah

5,000 pengunjung rebut peluang dapatkan potongan harga murah

A
A
A

No Image Caption

BERA - Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) menyasarkan peningkatan keahlian Peladang Muda sehingga 30 peratus dalam tempoh dua tahun akan datang.

Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah (AJP) Nafas, Datuk Zamri Yaakob memberitahu, pelbagai inisiatif dilaksanakan Nafas bagi menarik golongan muda untuk menyertai sektor pertanian yang menjanjikan pendapatan lumayan kepada pengusaha.

"Kita (Nafas) akan bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melaksanakan pelbagai program bagi menarik golongan muda menyertai bidang pertanian sekali gus berdaftar sebagai ahli Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).

"Unit PPK di setiap kampung akan memainkan peranan untuk menarik masuk orang muda dalam PPK. Kursus dan seminar akan didedahkan kepada mereka untuk memberi motivasi supaya mereka berminat untuk menceburi bidang pertanian," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Karnival Jualan Keluarga Peladang di Dataran Kerayong di sini, pada Sabtu.

Beliau turut berkata, Unit PPK di setiap kampung akan memainkan peranan untuk menarik masuk orang muda ke PPK. Kursus dan seminar akan didedahkan untuk memberi motivasi supaya mereka berminat menceburi bidang pertanian.

Artikel Berkaitan:

Beras yang dijual dengan harga RM6 sekampit bagi pek lima kilogram turut menjadi tumpuan pengunjung.
Beras yang dijual dengan harga RM6 sekampit bagi pek lima kilogram turut menjadi tumpuan pengunjung.

Ujarnya, selain latihan-latihan berkaitan pemasaran, projek-projek baharu juga boleh diketengahkan yang semestinya mendatangkan keuntungan kepada pengusaha atau ahli PPK muda.

"Sebagai contoh tanaman betik dan 'rock melon' yang kita tahu mempunyai potensi untuk mendapat permintaan di pasaran. Jadi, kita akan fokus kepada tanaman ini untuk Peladang Muda yang benar-benar berminat.

"Lagi pun, keahlian PPK kini 90 peratus adalah dalam kalangan mereka yang berusia 60 ke atas. Jadi, kita perlu ketengahkan anak-anak muda sebagai pelapis pada masa akan datang," ujar Zamri.

Ayam paling laris

Harga ayam yang murah menjadi tumpuan pengunjung.
Harga ayam yang murah menjadi tumpuan pengunjung.



Sebanyak 500 ekor ayam yang dijual serendah RM8 seekor pada waktu istimewa antara yang laris dan menjadi rebutan pengunjung sempena karnival tersebut.

Selain itu, sebanyak 1,000 ekor ayam pula dijual pada harga RM10 seekor yang turut diserbu pengunjung berikutan harga tersebut lebih rendah berbanding RM9.40 sekilogram di pasaran.

Pengunjung juga tidak melepaskan peluang mendapatkan beras yang dijual dengan harga RM6 pek lima kilogram dengan 1,000 kampit ditawarkan sempena karnival tersebut.

Itu antara tarikan sempena karnival anjuran Nafas yang dibanjiri kira-kira 5,000 pengunjung bermula jam 8 pagi hingga 1 tengah hari.

Turut ditawarkan buat pengunjung, pelbagai pameran dan jualan dengan penglibatan jabatan dan agensi di bawah MAFI antaranya, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat), Agrobank dan penglibatan sama Pertubuhan Peladang Negeri Pahang (Pasfa) serta PPK.

Gerai pameran serta jualan input pertanian dengan potongan harga yang menarik turut disediakan selain orang ramai boleh mendapatkan pelbagai maklumat secara terperinci berkaitan bantuan dan pelaburan yang boleh disertai sekiranya menjadi Ahli Peladang.

Pengunjung juga berpeluang mendapatkan produk jenama Peladang yang berasaskan makanan, antaranya ayam, beras, minyak masak serta input pertanian.

FAZREEL
FAZREEL



Sementara itu, pekerja swasta, Fazreel Ahmad Mazlan, 33, berkata penganjuran karnival sebegini amat membantu orang ramai mendapatkan harga keperluan dapur yang lebih rendah di pasaran.

"Bila dapat tahu ada karnival di sini, saya terus datang dan memang harga ayam khususnya amat berpatutan. Saya beli empat ekor ayam untuk keperluan keluarga," kata Fazreel.

ROHASNI
ROHASNI



Pembantu kantin sekolah, Rohasni Hassan, 37, menyifatkan penganjuran karnival tersebut amat dialu-alukan terutamanya bagi golongan B40 mendapatkan barangan dengan harga murah.

"Saya dapat tahu mengenai karnival ini daripada rakan-rakan dan sebaik tiba jam 9 pagi tadi terus beratur untuk membeli beras kerana harganya memang murah. RM6 untuk lima kilogram, rugi kalau tidak beli," tambah Roshani.

NORMARINI
NORMARINI



Rakannya, Normarini Omar, 43, gembira kerana dapat membeli barangan keperluan yang ditawarkan di sepanjang karnival tersebut.

"Seronok dapat beli dengan harga murah, selain ayam, saya turut membeli makanan sejuk beku seperti nuget hari ini," ujarnya.