MAFI jamin sekuriti makanan negara

A
A
A

Pelbagai dasar dan pelan tindakan dilakukan oleh MAFI bagi meningkatkan pengeluaran makanan seterusnya menjamin bekalan demi kesejahteraan rakyat.
Pelbagai dasar dan pelan tindakan dilakukan oleh MAFI bagi meningkatkan pengeluaran makanan seterusnya menjamin bekalan demi kesejahteraan rakyat.

Makanan sebagai keperluan asas perlu diberi perhatian bagi memastikan pembangunan ekonomi dan sosial sesebuah negara kekal progresif dan berdaya saing.

Demi menjamin kelangsungan sekuriti makanan negara, pelbagai usaha terus dilaksanakan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), dalam menampung keperluan rakyat yang dijangka meningkat lebih 45 juta orang menjelang 2050.

SHAH ALAM - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) telah melaksanakan pelbagai usaha berkaitan dasar, pelan tindakan sektorial, subsidi, insentif, pembiayaan, pindaan peraturan dan Rang UndangUndang (RUU) di Parlimen.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, MAFI telah memperkenalkan Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0), Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara (FSCC) dan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan 2021-2025.

DAN 2.0 adalah dasar menyeluruh bagi memastikan sekuriti makanan negara berdaya saing dan mampan berlandaskan dasar-dasar utama kerajaan iaitu Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, Agenda Pembangunan Mampan 2030 dan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).

DAN 2.0 juga merupakan kesinambungan kepada DAN 2011-2020 yang menyokong perkembangan komoditi agromakanan serta sekuriti makanan.

Artikel Berkaitan:

Beberapa faedah diperoleh daripada DAN 2.0 antaranya, sumbangan sektor agromakanan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia yang dijangka meningkat kepada lima peratus pada 2030 iaitu tahun akhir pelaksanaan dasar ini.

Bagi tahap sara diri (SSL) pula, bekalan makanan ruji negara iaitu beras dijangka meningkat daripada 63 kepada 80 peratus.

Jelas Ronald, MAFI telah memulakan langkah lebih awal melalui pelaksanaan program Smart Sawah Berskala Besar (SMART SBB) terhadap 150,000 hektar kawasan jelapang padi negara dengan sasaran meningkatkan purata hasil per hektar daripada 3.5 kepada 7.0 tan metrik dalam tempoh RMK12.

Bagi industri ternakan, matlamat utama adalah peningkatan SSL daging lembu kepada 50 peratus dan susu segar kepada 100 peratus bagi mengurangkan kebergantungan import.

Sementara bagi industri perikanan dan akuakultur, matlamatnya untuk mengatasi masalah pengurangan sumber perikanan dan meningkatkan SSL sumber ikan dari 90 ke paras 98 peratus serta tahap pendapatan nelayan daripada RM2,000 kepada RM2,724 hingga RM5,500.

Pelaksanaan Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN2.0) merupakan kesinambungan kepada DAN 2011-2020.
Pelaksanaan Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN2.0) merupakan kesinambungan kepada DAN 2011-2020.

Pendekatan DAN 2.0 bertujuan meletakkan pemodenan dan pertanian pintar sebagai ‘key game changer’ dan tumpuan teras dasar utama bagi menjayakan transformasi sektor agromakanan kepada sektor mampan, berdaya tahan dan berteknologi tinggi.

Penubuhan jawatankuasa Dasar kedua melibatkan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara (FSCC) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri dan dianggotai oleh menteri-menteri serta agensi terlibat.

Ia berperanan merangka dasar sekuriti makanan negara yang holistik dan mampan bagi memastikan isu-isu sekuriti makanan ditangani dengan baik.

Jawatankuasa ini dibantu oleh Jawatankuasa Eksekutif Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara yang berperanan sebagai ‘coordinating committee’ dan dipengerusikan oleh Menteri MAFI.

Dasar yang ketiga ialah Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara (Pelan Tindakan DSMN) 2021-2025, bagi memperkukuh sekuriti makanan negara dengan mengambil kira isu dan cabaran di sepanjang rantaian bekalan makanan bermula daripada input pertanian hingga ke sisa makanan.

Terdapat beberapa strategi digariskan di bawah Pelan Tindakan DSMN 2021- 2025 antaranya, memperluaskan adaptasi teknologi dalam sistem makanan untuk meningkatkan kecekapan dan produktiviti berteraskan skala ekonomikal dan pertanian mampan.

Strategi lain ialah memperkasa penyelidikan dan pembangunan berteraskan sekuriti makanan bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran makanan serta input pertanian.

Pada masa kini, negara berupaya menghasilkan hampir semua bahan makanan asas yang diperlukan. Sebagai jaminan bekalan, kementerian memberi penekanan untuk meningkatkan pengeluaran lapan bahan makanan asas dan memantau status bekalan secara berterusan untuk keperluan rakyat.

PELAKSANAAN TIGA DASAR UTAMA

Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0)

Pemberian subsidi kepada penternak ayam dan pengeluar telur ayam diteruskan sehingga Disember 2022.
Pemberian subsidi kepada penternak ayam dan pengeluar telur ayam diteruskan sehingga Disember 2022.



Memastikan sekuriti makanan negara berdaya saing dan mampan menerusi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, Agenda Pembangunan Mampan 2030 dan RMK12.

Kesinambungan DAN 2011-2020 menyokong perkembangan komoditi agromakanan serta sekuriti makanan.

Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara (FSCC)

Dipengerusikan oleh Perdana Menteri dan dianggotai oleh menteri-menteri serta agensi terlibat.

Berperanan merangka dasar sekuriti makanan negara yang holistik dan mampan dan segala isu ditangani dengan baik.

Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan 2021-2025

Untuk memperkukuh sekuriti makanan negara dari segi isu dan cabaran sepanjang rantaian bekalan makanan bermula daripada input pertanian hingga ke sisa makanan.

Memastikan sistem makanan kekal utuh pada setiap masa, khususnya dalam menghadapi situasi di luar jangkaan.

Pelaksanaan Pelan Tindakan Sektorial

Pelan Tindakan Sektorial terbahagi kepada tiga iaitu tanaman, perikanan dan penternakan. Untuk tanaman, kementerian memperkenalkan SMART SBB iaitu program kerjasama pintar antara kerajaan dan syarikat peneraju melibatkan kawasan penanaman padi seluas 150,000 hektar semusim bagi fasa pertama secara berperingkat di Semenanjung Malaysia.

SMART SBB mampu mengurangkan tanggungan kewangan kerajaan dari segi input pertanian bersubsidi dalam tempoh jangka panjang, melibatkan pemain-pemain industri dalam hampir keseluruhan rantaian industri, mengurangkan kos penanaman, pengurusan padi dan pendapatan pesawah.

Pendekatan ini juga membantu penyusunan semula pemain industri lebih sistematik terutamanya dalam menghapuskan penglibatan orang tengah yang mewujudkan jurang antara pesawah, penghasilan dan pemasaran beras.

Sehingga kini, sebanyak 27 syarikat peneraju telah menyertai program ini di 10 negeri melibatkan hampir 5,000 pesawah dengan keluasan melebihi 11,000 hektar.

Pelan lain adalah Penetapan Harga Siling Benih Padi Sah (BPS) bagi harga benih padi sah maksimum RM35 untuk setiap 20 kilogram (kg) berkuat kuasa musim tanaman pertama, Januari 2021.

Ia juga membuka lebih banyak peluang kepada pesawah menghasilkan benih padi sah termasuk Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), syarikat berkaitan kerajaan dan swasta selain memberi manfaat kepada kira-kira 320,000 pesawah di seluruh Semenanjung.

Untuk perikanan pula, MAFI menyediakan kemudahan caruman dalam Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menerusi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri kepada Nelayan.

Seramai 42,000 nelayan dibenarkan mencarum dalam skim Perkeso mengikut Akta Perkeso Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789) yang diambil daripada Elaun Sara Hidup Nelayan.

Elaun sara hidup nelayan dinaikkan bagi memanfaatkan 40,000 nelayan laut dan 3,400 nelayan darat.
Elaun sara hidup nelayan dinaikkan bagi memanfaatkan 40,000 nelayan laut dan 3,400 nelayan darat.

Kerajaan menerusi MAFI turut menaikkan Elaun Sara Hidup Nelayan Laut daripada RM250 kepada RM300 sebulan bermula pada 2021 melibatkan peruntukan sebanyak RM151 juta.

Elaun Sara Hidup Nelayan Darat juga dinaikkan daripada RM200 kepada RM250 yang memanfaatkan 3,400 orang nelayan.

Untuk penternakan, antara pelan yang dilaksanakan ialah Pelancaran Pelan Strategik Pembangunan Industri Pedaging Negara 2021-2025 dan Industri Tenusu Negara untuk meningkatkan SSL pengeluaran daging dan susu segar dalam negara.

Melalui pelan ini, sasaran pengeluaran daging dan susu segar tempatan dapat ditingkatkan untuk mencapai 50 peratus SSL bagi pengeluaran daging menjelang tahun 2025.

Lembaga Ruminan Negara (LRN) bakal ditubuhkan bagi merancakkan pertumbuhan industri ruminan dalam memantapkan pengeluaran daging dan tenusu negara.

Penggubalan RUU bagi penubuhan LRN juga dalam peringkat draf akhir dan dijangka dapat dibentangkan untuk bacaan pertama di Parlimen pada sesi Julai, 2023.

Kerajaan juga memperkukuhkan industri sarang burung walet dengan menggalakkan penghasilan produk nilai tambah serta hiliran antara RM14,500 hingga RM40,000 bagi setiap kg sarang burung.

MAFI merancakkan program sistem pendaftaran premis sarang burung walet yang menjadi salah satu syarat dalam pengeksportannya ke China.

Peruntukan RM150 juta untuk nelayan

MAFI memperuntukkan sebanyak RM150 juta bagi kemudahan pembiayaan di bawah Program Pemodenan Vesel dan Mekanisasi Tangkapan bagi Vesel Zon A, Zon B serta diperluaskan kepada Zon C dan Zon C2.

Ia membuka peluang kepada nelayan tempatan untuk menaik taraf dan memodenkan vesel dari aspek keselamatan dan peningkatan kualiti hasil tangkapan.

Pelaksanaan Dana Pembiayaan Agromakanan Keluarga Malaysia (DPAKM) di bawah Agrobank melibatkan peruntukan sebanyak RM800 juta turut diberi bagi menjamin kesinambungan aktiviti pengeluaran makanan.

Menerusinya, had maksimum pembiayaan bagi ternakan ayam, ruminan dan tanaman sayursayuran ditetapkan sehingga RM5 juta.

Had maksimum pembiayaan bagi usahawan mikro, mikro baharu dan muda adalah sehingga RM500,000 di samping tempoh pembiayaan untuk DPAKM sehingga 8.5 tahun, termasuk enam bulan moratorium yang akan ditawarkan kepada semua golongan sasar.

Skim Perlindungan Takaful Agromakanan

Satu skim perlindungan dengan kerjasama Agrobank diwujudkan berlandaskan prinsip syariah iaitu Skim Perlindungan Takaful Agromakanan.

Fasa pertama melibatkan skim perlindungan untuk pesawah berjumlah 189,500 orang dan diperluaskan dengan penglibatan subsektor perikanan, tanaman, ternakan serta industri makanan.

Ia turut menyediakan pampasan yang sewajarnya kepada golongan terlibat termasuk golongan B40 berskala kecil.

Subsidi untuk penternak ayam, pengeluar telur ayam

Kerajaan pada 7 Oktober lalu bersetuju supaya pemberian subsidi kepada penternak ayam dan pengeluar telur ayam diteruskan dari bulan Oktober hingga Disember 2022 pada kadar 80 sen sekilogram bagi ayam dan 8 sen sebiji bagi telur.

Keputusan ini mengambil kira harga siling ayam standard di peringkat runcit telah dikekalkan pada kadar RM9.40 sekilogram dan harga siling telur ayam gred A, B dan C di peringkat runcit masing-masing dikekalkan pada kadar 45 sen, 43 sen dan 41 sen sebiji di Semenanjung Malaysia.

Pada 1 November lalu, kerajaan menaikkan subsidi telur ayam gred A, B, dan C daripada 8 sen kepada 10 sen bagi meningkatkan pengeluaran, meringankan beban kos penternak dan rakyat boleh mendapatkan dengan harga berpatutan.

Skim Rezeki Ternakan Ruminan dan Unggas diwujudkan dengan peruntukan sebanyak RM30 juta yang memanfaatkan 374 orang penternak dengan nilai bantuan sebanyak RM5.06 juta pada tahun 2022.

Pindaan Peraturan dan RUU di Parlimen

Pindaan Peraturan-Peraturan Pertubuhan Peladang 2021 bagi memperkasakan peranan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) dan Pertubuhan Peladang dilakukan untuk mengembalikan hak memilih kepada ahli peladang dalam pemilihan Ahli Jemaah Pengarah (AJP).

RUU Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Pindaan) 2022 turut dilaksanakan oleh kementerian. Turut dipinda adalah RUU Kawalan Padi dan Beras (Pindaan) 2022 (Akta 552) bagi meningkatkan tahap penguatkuasaan kawal selia padi.

MAFI turut memudah cara prosedur import (IP) Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) ke atas empat komoditi melalui penangguhan fi permit serta mewujudkan ‘priority lane’ bagi proses kemasukan pantas.