Mangsa banjir meningkat 1,359 orang di enam negeri

Lapan PPS di buka di kawasan Klang dan Kuala Selangor bagi menempatkan 217 keluarga. - Gambar hiasan (Gambar kanan : Kenyataan media Nadma pada Sabtu.)
Lapan PPS di buka di kawasan Klang dan Kuala Selangor bagi menempatkan 217 keluarga. - Gambar hiasan (Gambar kanan : Kenyataan media Nadma pada Sabtu.)
A
A
A

SHAH ALAM - Jumlah mangsa banjir di seluruh negara kini meningkat kepada 1,359 orang, melibatkan negeri Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Melaka, Johor dan Kelantan.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dalam kenyataan di laman Facebook berkata, Selangor merekodkan jumlah tertinggi mangsa yang terlibat dengan pemindahan iaitu 903 orang.

Jumlah tersebut diikuti dengan Kedah seramai 233 mangsa, Pulau Pinang (75), Kelantan (62), Johor (57) dan Melaka (29).

Menurut kenyataan itu, bagi Selangor, seramai 217 keluarga membabitkan kawasan Klang dan Kuala Selangor ditempatkan di lapan pusat pemindahan sementara (PPS).

Di Kedah pula, seramai 60 keluarga ditempatkan di kawasan Bandar Baharu dan Kulim di lima PPS iaitu Surau Kampung Batu 18, Dewan Masjid Sungai Seluang, Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Tok Dik, SK Sri Limau dan Surau Taman Sang Kancil.

Bagi Pulau Pinang pula, seramai 23 keluarga ditempatkan di dua PPS manakala Kelantan menempatkan sejumlah 15 keluarga.

Selain itu, seramai 18 keluarga dipindahkan ke tiga PPS kawasan Segamat di Johor sementara di Melaka, sejumlah 12 keluarga ditempatkan di dua PPS kawasan Alor Gajah.

Artikel Berkaitan: