PRU15: Lima tunjang, 50 tawaran Radzi kepada penduduk Putrajaya

Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Parlimen P125 Putrajaya Datuk Dr Radzi Jidin -Foto Bernama
Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Parlimen P125 Putrajaya Datuk Dr Radzi Jidin -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin menggariskan lima tunjang dengan 50 tawaran terhadap 42,881 pengundi dalam menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurutnya, tawaran yang termaktub di dalam manifesto dengan tema Era Baharu Putrajaya mengambil kira input yang diberikan oleh penduduk di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan itu.

"Sejak empat tahun mendiami Putrajaya, kita sedari bahawa ramai yang ini melihat perubahan yang berlaku dalam PRU15," katanya.

Beliau berkata, kesemua tawaran tersebut mampu dilaksanakan oleh PN sekiranya diberi mandat oleh pengundi pada Sabtu minggu hadapan.

"Putrajaya sepatutnya melonjak ke tahap yabg lebih baik," katanya dalam ucapan pelancaran tawaran untuk Putrajaya di sini pada Jumaat.

Mengulas mengenai tawaran tersebut, Mohd Radzi berkata ia meliputi kesejahteraan masyarakat, ekonomi, pendidikan, anak muda serta infrastruktur dan kemudahan awam.

"Lima tunjang tersebut adalah Demi Warga Putrajaya yang Sejahtera, Demi Ekonomi yang Makmur, Demi Pendidikan Generasi Putrajaya, Demi Masa Depan Anak Muda Putrajaya, Demi Infrastruktur Dan Kemudahan Awam yang Terancang," katanya.

Antaranya ditawarkan adalah sebuah pusat sehenti iaitu Putrajaya Care yang berperanan meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan Ahli Parlimen kepada warga Putrajaya akan diwujudkan.

Artikel Berkaitan:

"Aplikasi ini berfungsi sebagai platform untuk warga Putrajaya membuat aduan serta mendapatkan khidmat bantuan, tempahan fasiliti dan perkongsian informasi," katanya.

Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) itu berkata, dalam konteks kerohanian, program #NgajiPutrajaya akan dilaksanakan melalui penyediaan kelas mengaji al-Quran.

"Ini dilengkapi dengan modul lengkap untuk kanak-kanak, remaja dan orang dewasa, termasuk penggunaan teknologi digital di surau-surau," katanya.

Ujarnya, potensi Putrajaya sebagai destinasi pelancongan untuk pelancong tempatan dan luar negara akan ditingkatkan dengan menambah penawaran produk pelancongan baharu bernilai tinggi.

Katanya, pembangunan sektor pelancongan ini akan memacu peluang pekerjaan dan perniagaan untuk warga setempat.

Bagi sektor pendidikan, sekurang-kurangnya RM5,000 akan diperuntukkan kepada persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) setahun bagi mendokong peranan dan sumbangan persatuan dalam membantu kemenjadian murid.

"Perkhidmatan bas sekolah berdaftar disediakan secara percuma untuk murid miskin untuk kemudahan ke sekolah," katanya.

Pengundi Putrajaya juga turut ditawarkan bantuan awal kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam sebanyak RM500 selain #SiswaDigital untuk keluarga yang kurang berkemampuan.

Mohd Radzi berkata, sebuah Kompleks Anak Muda Putrajaya yang dilengkapi dengan fasiliti yang kondusif untuk kegunaan belia, badan bukan kerajaan (NGO), siswa dan pekerja gig akan diwujudkan.

"Peruntukan geran sebanyak RM50,000 ditawarkan kepada Persatuan Siswa Putrajaya untuk menjalankan aktiviti sukarelawan dan kemasyarakatan," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, rakyat seharusnya memberi peluang kepada PN untuk membuktikan bahawa pentadbiran yang bakal diterajui gabungan itu mampu mengurus negara dengan baik.

"Orang kata wakil rakyat yang ada pada hari ini cukup bagus...Bagus itu sebab tidak mencuba yang lagi bagus.

"Kalau saudara-saudari bagi peluang kepada yang lagi bagus, esok-esok dia punya punya level itu lagi bagus daripada sebelum," katanya.

Ujar Mohd Radzi, tempoh dua tahun cukup untuk membuktikan bahawa beliau merupakan wakil rakyat yang cemerlang.

"Percayalah. Bagi masa dua tahun semua orang cakap begitu (bagus). Tidak perlu tunggu lima tahun," katanya.

Tambah beliau, pengundi perlu memilih PN pada tarikh keramat 19 November ini.

"Satu undi kerusi untuk PN maknanya satu kerusi untuk kita bentuk kerajaan pusat," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!