Zahid minta Khairy menangkan dulu Sungai Buloh

Khairy Jamaluddin dan Ahmad Zahid
Khairy Jamaluddin dan Ahmad Zahid
A
A
A

BAGAN DATUK - Khairy Jamaluddin Abu Bakar diingatkan untuk memenangi kerusi Parlimen Sungai Buloh terlebih dahulu sebelum berhasrat menjadi Perdana Menteri.

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, fokus perlu diberikan kepada gerak kerja memperkuatkan parti dan bukan mengeluarkan kenyataan yang boleh merosakkan imej parti.

"Kita boleh berbeza pendapat, tetapi kalau membuat tuduhan atau hanya memproksikan diri kita, kononnya terbaik, terpandai dan bijaksana, ertinya itu perasan.

"Sekarang ini bukan masanya membangkitkan perkara remeh temeh. Kita patut tumpukan perhatian memenangkan calon-calon BN," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan komuniti masyarakat Cina di Hutan Melintang di sini pada Jumaat.

Ahmad Zahid yang juga penyandang Parlimen Bagan Datuk mahu Khairy membuktikan mampu menyumbangkan kerusi kepada BN bagi membolehkan parti itu membentuk kerajaan.

"Saya memberi peluang kepada beliau sekali lagi untuk bertanding di Sungai Buloh walaupun itu bukan tempat beliau.

"Maka beliau harus bekerja keras untuk menyumbangkan satu kerusi di Sungai Buloh bagi Barisan Nasional membentuk kerajaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Media sebelum ini melaporkan Khairy menyatakan hasrat untuk memimpin UMNO dan negara satu hari nanti.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau itu bagaimanapun berkata, ia bukanlah selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) jika BN mendapat mandat rakyat membentuk kerajaan dan beliau boleh menunggu untuk memimpin parti dan negara.