'Satu hari nanti saya ingin ketuai UMNO, jadi PM'- KJ

Khairy Jamaluddin ketika berucap pada program ceramah di Taman Saujana Utama, Sungai Buloh pada Selasa.
Khairy Jamaluddin ketika berucap pada program ceramah di Taman Saujana Utama, Sungai Buloh pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Calon BN Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyatakan hasrat untuk memimpin UMNO dan seterusnya menjadi Perdana Menteri satu hari nanti.

Menurut Menteri Kesihatan itu, beliau berdiri sebagai calon BN di Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini bukan bertujuan ‘membunuh’ dirinya sendiri, sebaliknya ia adalah satu cabaran yang sedang dipikulnya.

“Saya datang ke Sungai Buloh bukan untuk ‘bunuh’ diri saya sendiri, ini bukan misi ‘kamikaze’. Saya ambil dan garap cabaran ini kerana jika orang Sungai Buloh menangkan saya di kawasan Parlimen P107, Sungai Buloh bukan hadnya.

“Saya bawa orang Sungai Buloh satu hari nanti kita pimpin negara Malaysia, insya-ALLAH.

“Insya-ALLAH dengan takdir ALLAH SWT, dengan semua sokongan daripada rakan-rakan, satu hari nanti saya ingin mengetuai UMNO, saya nak jadi Perdana Menteri anda untuk kita bangunkan negara ini.

"Tidak pernah saya cakap begitu, kalau saya cakap, semua MKT (Majlis Kerja Tertinggi UMNO) nak 'kerat' saya, tetapi ini adalah masa untuk saya katakannya,” katanya ketika program ceramah di Taman Saujana Utama, Sungai Buloh pada Selasa.

Bagaimanapun ujarnya, beliau tidak berhasrat untuk menjadi Perdana Menteri dalam tempoh terdekat ini.

Sebaliknya, sekiranya BN memperoleh kemenangan pada PRU15, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan kekal diangkat sebagai Perdana Menteri berdasarkan ketetapan parti.

Artikel Berkaitan:

“Tetapi bukan sekaranglah. Sekarang ini kita menang, kakanda saya, Ismail Sabri jadi Perdana Menteri Malaysia. Saya umur 46 tahun, boleh tunggu lagi.

“Tetapi jangan lama sangatlah, saya bersedia tetapi saya kena buktikan di Sungai Buloh ini dahulu.

“Kalau orang di sini sokong saya, saya boleh maklumkan kepada parti. Saya datang ke kandang naga dengan 26,000 majoriti, saya menang kerusi untuk BN.

“Saya mahu mengetuai parti dan negara,” katanya.