Tze Yong, Kisona rancakan persiapan ke Terbuka Australia

Tze Yong
Tze Yong
A
A
A

PEMAIN perseorangan lelaki Ng Tze Yong dan pemain perseorangan wanita negara S Kisona giat melakukan persiapan menjelang Terbuka Australia 2022 di Sydney bermula Selasa depan.

Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann percaya komitmen ditampilkan kedua-dua pemain itu mampu menutup tirai kejohanan musim 2022 dengan noktah kegembiraan.

Namun pada masa sama beliau mengakui Tze Yong bakal melalui laluan sukar apabila diundi menentang pilihan keenam dari Thailand, Kunlavut Vitidsarn yang juga pemenang pingat perak Kejohanan Dunia di Tokyo, Ogos lalu.

"Semua yang terlibat untuk ke Terbuka Australia sudah disahkan mendapat visa dan akan bertolak minggu ini. Kita sekarang berada pada fasa mengakhiri perjalanan bagi 2022, dan setakat ini semua persediaan berada dalam tahap yang baik.

"Macam yang kita tahu Tze Yong ada peningkatan, namun masih terdapat beberapa kekurangan. Di Terbuka Australia dia akan menentang Kunvalut jadi kita nasihatkannya buat yang terbaik, kalau ada upset (menang dengan lawan lebih tinggi ranking) itu bonus," katanya ketika ditemui pemberita di Akademi Badminton Malaysia (ABM) pada Jumaat.

Choong Hann berkata, barisan kejurulatihan BAM akan terus membantu Tze Yong, untuk mencapai lebih banyak kejayaan pada masa hadapan.

Mengenai Kisona, Choong Han berkata, masih banyak lagi penambahbaikan perlu dilakukan bersama jurulatih perseorangan wanita, James Chua bagi memantapkan corak permainan atlet berusia 24 tahun itu.

Jelas Choong Han, pemain kelahiran Negeri Sembilan itu mengambil keputusan menarik diri dari Terbuka Hylo pada awal bulan ini selepas Kisona tewas di suku akhir Masters Indonesia bulan lepas, bagi menumpukan sepenuh perhatian kepada sesi latihan untuk 'menajamkan' corak permainan, yang diharap membuahkan hasil pada Terbuka Australia.

Artikel Berkaitan:

"Kisona banyak mengalami kecederaan pada awal dan pertengahan tahun ini, jadi kita tidak mahu terlampau desak dia. Kecederaan itu menyebabkan mental dan keyakinan beliau semakin menurun.

"Jadi kami memang cuba bagi sokongan dan sekarang sudah mula ada peningkatan walaupun masih memerlukan banyak lagi penambahbaikan corak permainan. Saya harap beliau boleh capai ranking tertinggi yang mungkin untuk bermain dalam Super750 dan Super1000," katanya.

Kisona juga akan berdepan laluan berliku apabila bakal bertemu pilihan ketiga Pornpawee Chochuwong dari Thailand, yang juga pemain di ranking kelapan dunia.