KPE bantu jual emas cara terbaik

YaPEIM miliki kapasiti mencukupi, kepakaran menguji, menilai dan menimbang emas

A
A
A

No Image Caption

PETALING JAYA - Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) melaksanakan inisiatif Khidmat Pembelian Emas (KPE) bagi membantu memastikan masyarakat terutamanya orang Melayu untuk menjual emas dengan cara terbaik.

Pemangku Ketua Pengarah YaPEIM, Awang @ Musran Tawil berkata, sebagai antara peneraju utama industri emas terpakai, yayasan itu memiliki kapasiti mencukupi bagi merealisasikan usaha tersebut.

Katanya, selain mempunyai kepakaran untuk menguji, menilai dan menimbang emas, YaPEIM turut mempunyai cawangan terbanyak menawarkan khidmat pembelian emas dengan 213 cawangan di seluruh negara.

“Kami melihat ramai orang Melayu atau orang Malaysia secara umumnya tahu membeli emas, namun mereka tidak begitu tahu bagaimana hendak menjual emas dengan cara terbaik.

“Jadi, perkhidmatan pembelian emas KPE ini diwujudkan bertujuan untuk menyantuni rakyat di Malaysia mendapatkan nilai tertinggi hasil daripada emas yang mereka jual,” katanya kepada Sinar Harian.

Awang berkata, di bawah inisiatif tersebut, emas yang dijual orang ramai dibeli oleh pihaknya pada kadar harga kompetitif sehingga 83 peratus berbanding nilai semasa pasaran emas.

Artikel Berkaitan:

Kata beliau, kadar ditetapkan itu menjadikan pengguna mendapat harga jualan sekitar 10 peratus lebih tinggi berbanding pasaran jualan emas terpakai di dalam negara.

AWANG @ MUSRAN TAWIL
AWANG @ MUSRAN TAWIL

“Kalau pengguna membuat tinjauan di kedai-kedai emas, mungkin dia akan dapat 70 peratus daripada nilai emas, bererti susut nilainya 30 peratus. Kalau emas itu bernilai RM1,000, dia cuma dapat RM700 sementara RM300 itu adalah susut nilai.

“Berbeza pula jika emas bernilai RM1,000 itu dibawa kepada YaPEIM, dia akan dapat RM830,” ujar beliau.

Peneraju industri

Awang berkata, dengan perkembangan tersebut, nilai transaksi emas terpakai di bawah agensi tersebut dijangka bakal mencecah sebanyak RM200 juta untuk tempoh setahun akan datang bermula dari November tahun ini.

Beliau menambah, KPE juga diharapkan dapat menjadi pemangkin untuk menjadikan agensi berkenaan sebagai peneraju kepada industri perniagaan emas terpakai di Malaysia dalam tempoh dua tahun akan datang.

Katanya, melalui inisiatif yang disediakan itu secara langsung mempelbagaikan perkhidmatan perniagaan emas ditawarkan YaPEIM kepada orang ramai dan tidak terhad hanya kepada skim pajak gadai Ar-Rahnu YaPEIM serta Akaun Emas YaPEIM.

“Oleh itu, kita mensasarkan transaksi tahun pertama sebanyak RM200 juta dan kemudian tahun kedua bertambah kepada RM400 juta bagi pembelian emas terpakai oleh YaPEIM.

“Walaupun itu satu angka peningkatan yang drastik, tetapi kita yakin YaPEIM mempunyai kemampuan sedemikian disebabkan transaksi Ar Rahnu YaPEIM sekarang ini berada dalam julat sasaran hampir sama,” jelas beliau.

Tambah Awang, sejak KPE dimulakan pada 18 November 2008 sehingga September 2022 menunjukkan 232,353 transaksi KPE berjaya dilakukan dengan jualan hampir mencecah RM280 juta.

Mengulas mengenai kaedah digunakan pihaknya dalam menjana keuntungan hasil daripada inisiatif KPE, beliau berkata, ia diperolehi dengan dua cara iaitu melalui penjualan semula emas terpakai boleh dijual dan menjadikan ia sebagai bekalan buku simpanan emas YaPEIM.

Jelasnya, bagi cara pertama, emas terpakai yang dinilai boleh dijual atau disebut sebagai pre-loved pada harga sedikit rendah berbanding nilai pasaran dan tanpa upah kepada pembeli.

“Ada dalam kalangan masyarakat yang memang tidak kisah sama ada emas baharu atau terpakai ketika membeli kerana apa yang penting baginya ialah emas. Jadi kelompok ini yang menjadi sasaran kita untuk membeli emas itu.

“Kedua, emas yang diperolehi YaPEIM daripada KPE akan jadi bekalan kepada buku simpanan emas kita. Jadi, buku simpanan emas ini kita akan jual mengikut harga pasaran dan dari situlah kita perolehi keuntungan daripada transaksi KPE,” katanya.