SPRM siasat laporan libat aset Rafizi

Rafizi Ramli
Rafizi Ramli
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyiasat laporan yang dibuat kepada suruhanjaya itu mengenai nilai aset bersih RM18.85 juta milik Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, satu laporan diterima pihaknya daripada badan bukan kerajaan (NGO) mengenai isu terbabit.

"SPRM menerima satu laporan daripada sebuah NGO dan kita akan menjalankan siasatan di bawah bidang kuasa kami.

"Siasatan akan dijalankan mengikut prosedur biasa," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Pada Khamis, Sinar Harian melaporkan NGO Pertubuhan Jalinan Perpaduan Negara Malaysia menggesa siasatan dijalankan oleh pihak SPRM berkenaan nilai aset yang diisytihar oleh Rafizi pada 2 November lalu.

SPRM akan menyiasat laporan yang dibuat Presiden Pertubuhan Jalinan Perpaduan Negara Malaysia, Syed Mohammad Imran Syed Abdul Aziz (gambar) yang menggesa siasatan dijalankan susulan pengisytiharan aset harta milik Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli.
SPRM akan menyiasat laporan yang dibuat Presiden Pertubuhan Jalinan Perpaduan Negara Malaysia, Syed Mohammad Imran Syed Abdul Aziz (gambar) yang menggesa siasatan dijalankan susulan pengisytiharan aset harta milik Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli.

Pengisytiharan harta itu dibuat menerusi akuan berkanun (SD) yang dimuat naik melalui laman blog peribadinya.

Berdasarkan lampiran itu, kebanyakan asetnya diperoleh daripada pelaburan saham dalam Invoke Solutions Sdn Bhd, syarikat yang diasaskannya.

Artikel Berkaitan:

Jumlah itu termasuk pelaburan dalam Boustead Holdings Berhad milik Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan polisi insurans di Prudential.

Selain itu, aset lain diisytihar termasuk, tunai dan simpanan RM1.17 juta; dua hartanah di Bukit Antarabangsa, Selangor, RM1.6 juta; kereta Peugeot 3008 dan Honda Accord, RM110,00 dan pendapatan bulanan sebanyak RM23,500.