Pemandu lori maut dalam nahas lima kenderaan

Nahas lima kenderaan di Kilometer 280 PLUS arah Selatan pada Jumaat. - Foto Media Sosial
Nahas lima kenderaan di Kilometer 280 PLUS arah Selatan pada Jumaat. - Foto Media Sosial
A
A
A

NILAI - [DIKEMAS KINI] Seorang pemandu lori maut selepas terlibat nahas lima kenderaan di Kilometer 280 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah Selatan pada Jumaat.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sembilan dalam kenyataan berkata, sepasukan pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Nilai dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 11.43 pagi.

"Komander operasi melaporkan kemalangan melibatkan lima kenderaan iaitu dua buah lori treler, dua kereta dan sebuah motosikal. Kerja-kerja penyelamatan telah dilakukan oleh pihak bomba.

"Terdapat 10 orang mangsa, bagaimanapun seorang daripadanya iaitu lelaki berusia 43 tahun merupakan pemandu lori maut di lokasi kejadian," katanya.

Jelas kenyataan itu, mangsa yang maut telah disahkan oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

"Mangsa yang cedera telah dihantar ke hospital oleh ambulans dan jentera Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS)," katanya.

No Image Caption

Sementara itu, Ketua Polis daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim berkata, nahas dipercayai berlaku apabila sebuah lori kontena hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan.

Menurutnya, kejadian pada jam 11.35 pagi itu menyebabkan pemandunya, Muhammad Iqbal Kamarulzaman, 42 maut di lokasi.

Artikel Berkaitan:

"Kejadian itu membabitkan enam kenderaan iaitu sebuah lori kontena dipandu mangsa, sebuah lori treler,kereta,kenderaan utiliti sukan (SUV),kenderaan pelbagai guna (MPV) dan sebuah motosikal.

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika lori kontena berkenaan dalam perjalanan dari arah Seremban menghala ke arah Nilai," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi, ketika itu memandu di lorong kedua dari kiri dipercayai telah hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan dan melanggar lima kenderaan yang sedang bergerak terus di laluan bertentangan iaitu dari arah Nilai ke Seremban.

"Akibat kemalangan tersebut, pemandu lori tersebut mengalami kecederaan di bahagian badan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Beliau berkata lapan lagi individu termasuk warga asing berusia dalam lingkungan 20 hingga 59 tahun dilaporkan selamat, dengan enam daripadanya cedera dan dihantar ke hospital bagi menerima rawatan.

Kejadian itu turut mengakibatkan berlaku kesesakan sejauh lebih lima kilometer susulan empat lorong terpaksa ditutup disebabkan kedudukan lori yang menghalang semua laluan.

Abdul Malik berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.