PRU15: Azmin yakin pengundi 'cipta sejarah' di Tambun

Mohamed Azmin (duduk, dua dari kanan) ketika sidang akhbar selepas menghadiri program Jelajah Prihatin Parlimen Tambun di Klebang Jaya di Ipoh pada Khamis. - Foto Facebook Faizal Azumu
Mohamed Azmin (duduk, dua dari kanan) ketika sidang akhbar selepas menghadiri program Jelajah Prihatin Parlimen Tambun di Klebang Jaya di Ipoh pada Khamis. - Foto Facebook Faizal Azumu
A
A
A

IPOH - Pengundi di kerusi Parlimen Tambun mungkin akan 'mencipta sejarah' dengan memastikan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim tewas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ini kerana rakyat setempat sudah memahami dan melihat perkhidmatan diberikan oleh penyandang kerusi tersebut yang juga Pengerusi PN Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sepanjang memegang jawatan sebagai wakil rakyat di kawasan tersebut.

"Kita tak perlu orang luar untuk mewakili penduduk di sini. Jadi biarlah penduduk di sini kekalkan keharmonian mereka, kekalkan kesatuan mereka dengan pemimpin mereka.

"Tidak perlu ada unsur-unsur luar untuk memecahkan perpaduan di dalam Tambun ini. Saya yakin sejarah ini akan dicipta sekali lagi di Tambun," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Jelajah Prihatin Parlimen Tambun di Klebang Jaya di sini pada Khamis.

Hadir sama, Ahmad Faizal, calon PN Dewan Undangan Negeri (DUN) Manjoi, Hafez Sabri dan calon PN DUN Hulu Kinta, Puteri Holijah Muhamad Rali.

Sementara itu, mengenai jumlah sasaran kerusi yang bakal dimenangi PN pada PRU15, Azmin berkata, gabungan parti itu akan membuat kejutan pada hari mengundi nanti.

Anwar pada PRU15 bertanding di kerusi Parlimen Tambun meninggalkan kerusi Parlimen Port Dickson yang dimenangi pada pilihan raya kecil pada 2018.

Kerusi Parlimen Tambun menyaksikan pertembungan empat penjuru pada PRU15 dengan Anwar akan menentang Ahmad Faizal, Datuk Aminuddin Md Hanafiah dari BN dan Abdul Rahim Tahir dari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Artikel Berkaitan: