PRU15: Abdul Hadi sedia berdepan DAP di mahkamah

Abdul Hadi
Abdul Hadi
A
A
A

KUALA LUMPUR - Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan tidak akan menarik balik kenyataannya yang mendakwa DAP adalah parti yang menyokong dan membawa ideologi komunis.

Abdul Hadi berkata, beliau bersedia untuk menerima tindakan daripada DAP dan hadir ke mahkamah untuk menunjukkan bukti.

"Saya tidak akan mohon maaf atau tarik balik (kenyataan). Eloklah (DAP) buat laporan polis, memang saya kenal beberapa orang (pimpinan DAP) yang tak percaya Tuhan. (Kami) pernah bercampur dengan mereka, tak perlu sebut nama.

"Nanti jumpalah di mahkamah. Saya boleh tunjuk bukti," katanya mengulas laporan polis pemimpin DAP yang mendakwa beliau bersikap rasis dan membabitkan isu parti komunis.

Abdul Hadi yang hadir di Majlis Ramah Mesra Bersama Presiden Pas itu turut dihadiri oleh calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Wangsa Maju, Nuridah Mohd Salleh; calon PN Parlimen Batu, Azhar Yahya dan calon PN Lembah Pantai, Fauzi Abu Bakar.

Setiausaha DAP Kuala Lumpur, Lim Lip Eng pada Khamis membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini.

Lip Eng berkata, antara lain Abdul Hadi didakwa mengeluarkan kenyataan yang mengaitkan PH dengan fahaman komunis serta antituhan dalam majlis di Temerloh, Pahang, kelmarin.

Sementara itu, ketika program Santai Petang Bersama Tuan Guru di Parlimen Titiwangsa, Abdul Hadi menjelaskan, pengundi wajib mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini dan sedikit sejarah kenapa Pas memilih PN dan bukannya bersama UMNO dalam Muafakat Nasional (MN).

Artikel Berkaitan:

Katanya, umat Islam perlu keluar mengundi kerana di zaman awal Islam, penduduk di Madinah pernah berkumpul bagi memilih ketua negara selepas wafatnya Rasulullah SAW.

"Apabila wafatnya Rasulullah SAW di Madinah dan selesai pengebumian, ramai orang berkumpul di satu kawasan padang untuk mengundi siapa yang akan menjadi ketua negara.

"Ada tiga calon, orang Madinah mencalonkan Saad Ubadah RA, keluarga nabi memilih Ali Abi Talib RA dan golongan muhajirin mencalonkan Abu Bakar As-Siddiq. Akhirnya Abu Bakar yang dipilih menjadi ketua negara," katanya.

Kata Abdul Hadi lagi, peristiwa itu menunjukkan bahawa mengundi memilih pemimpin adalah amat penting dan diamalkan sepanjang masa sejak tertubuhnya khilafah Islam.

Mengulas kepada Pas menolak MN bersama UMNO, Abdul Hadi berkata, ia kerana UMNO hanya mahu berpakat dengan Pas sahaja dan menolak parti lain.

"Saya cakap ini tidak boleh, ini bukan perpaduan ummah. Perpaduan ummah mestilah Pas, UMNO, Bersatu, Gerakan dan semua sekali. Kalau Pas dan UMNO sahaja tidak cukup. Jadi kita tolak cadangan UMNO," katanya.