ADUN Kuala Nerang diumum Exco baharu Kedah

Sultan Sallehuddin berkenan mengurniakan tauliah pelantikan kepada Mohamad Yusoff @ Munir pada Istiadat Mengangkat Sumpah di Balai Penghadapan Istana Anak Bukit pada Khamis.
Sultan Sallehuddin berkenan mengurniakan tauliah pelantikan kepada Mohamad Yusoff @ Munir pada Istiadat Mengangkat Sumpah di Balai Penghadapan Istana Anak Bukit pada Khamis.
A
A
A

ALOR SETAR - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Nerang, Mohamad Yusoff @ Munir Zakaria diumumkan sebagai Exco baharu Kedah pada Khamis.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, pelantikan ADUN Kuala Nerang itu mendapat perkenan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

Muhammad Sanusi memberitahu, Mohamad Yusoff @ Munir dilantik sebagai Exco Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air, Pengairan dan Saliran serta Tenaga menggantikan ADUN Sungai Tiang, Datuk Suraya Yaacob yang meletakkan jawatan pada Oktober lepas.

"Istiadat mengangkat sumpah di hadapan Sultan Sallehuddin telah berlangsung di Balai Penghadapan Istana Anak Bukit pada jam 11 pagi.

"Saya bagi pihak kerajaan negeri serta seluruh jentera pentadbiran mengalu-alukan pelantikan ini dengan harapan semua pihak akan memberikan kerjasama baik kepada ADUN Kuala Nerang untuk melaksanakan tugas serta tanggungjawab yang diamanahkan kepada beliau,"katanya.

Muhammad Sanusi berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar di Wisma Darul Aman, di sini, pada Khamis.

Muhammad Sanusi berkata, beliau mendapati ADUN Kuala Nerang terbabit memiliki kelulusan dalam bidang Diploma Bangunan daripada Institusi Teknologi Mara (ITM) (kini dikenali sebagai Universiti Teknologi Mara)memiliki pengalaman dan kepakaran dalam bidang berkaitan portfolio itu.

"Haji Munir ini memiliki pengalaman sebagai ADUN selama dua kali, iaitu kali pertama pada 1999 dan kali kedua pada 2018 dengan menang di Kuala Nerang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Mohamad Yusoff @ Munir,58, beliau menjunjung kasih kepada atas perkenan Sultan Sallehuddin yang melantiknya sebagai Exco Kedah baharu.

Mohamad Yusoff @ Munir
Mohamad Yusoff @ Munir

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Besar Kedah yang memberi peluang kepada dirinya menjawat jawatan itu.

"Saya diajar guru saya bahawa jawatan bukan satu penghormatan sebenarnya walaupun digelar Yang Berhormat tetapi satu tanggungjawab dan amanah.

"Saya memohon pertolongan Allah SWT supaya akan bagi kekuatan kepada saya dan keluarga saya, rakan lain untuk sama menunaikan tanggungjawab ini sebaik mungkin dan sebaik-baiknya untuk memberi khidmat terbaik kepada seluruh rakyat," katanya.

Menurut Timbalan Yang Dipertua Pas Padang Terap itu, beliau memiliki keyakinan dan akan melakukan terbaik melalui portfolio terbabit.

"Saya percaya isu air ini juga sedang dalam proses, yang saya kira saya masuk ini (sebagai exco) ketika lima loji rawatan air (LRA) sedang giat dijalankan.Malah, ADUN Suka Menanti, Datuk Ir Zamri Yusof berpuas hati pencapaian dan penjelasan diberikan Menteri Besar," katanya.

Pada 13 Oktober lepas, Sinar Harian melaporkan ADUN Sungai Tiang, Datuk Suraya Yaacob mengumumkan peletakkan jawatan sebagai Exco Kedah berkuatkuasa serta-merta.

Suraya yang merupakan Exco Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air, dan Tenaga negeri sejak empat penggal pada 2004, mengumumkan peletakkan jawatan melalui satu kenyataan yang diedarkan kepada media sebaik selesai mesyuarat exco di diadakan di Kompleks Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah, pada Khamis.