Kadar kesuburan wanita di Malaysia semakin menurun

Isu kesuburan dan kadar kelahiran telah menjadi satu kemelut di banyak negara, tidak terkecuali Malaysia. Foto hiasan 123RF
Isu kesuburan dan kadar kelahiran telah menjadi satu kemelut di banyak negara, tidak terkecuali Malaysia. Foto hiasan 123RF
A
A
A
BANGI - Kadar Kesuburan Jumlah (KKJ) bagi wanita di Malaysia terus menurun sejak lima dekad lepas dan jika trend ini berterusan, dijangka kadar pertumbuhan tahunan penduduk kekal menurun hingga mencecah paras 0.7 peratus pada 2050.

Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Dr Maziah Che Yusoff berkata, KKJ di Malaysia telah menurun dengan pesat daripada 6.7 anak bagi seorang wanita pada 1957 kepada 4.0 anak pada 1980, 3.0 anak (2000), 2.1 anak (2010) dan 1.7 anak (2021).

"Antara faktor utama penurunan KKJ adalah disebabkan penangguhan perkahwinan atau berkahwin lewat yang menyebabkan tempoh reproduktif menjadi lebih pendek, kecenderungan untuk mempunyai saiz keluarga yang kecil atas pelbagai punca seperti kemampuan kewangan dan masalah ketidaksuburan atas sebab kesihatan.

"Penurunan kadar kesuburan ini sekali gus mempercepat proses penuaan penduduk di Malaysia dan dijangka 15 peratus penduduk Malaysia adalah berusia 60 tahun ke atas pada 2030," katanya semasa menyampaikan ucapan secara dalam talian sempena Persidangan Kependudukan Kebangsaan 2022 (PERKKS 22) di sini pada Khamis.

KKJ merujuk kepada purata bilangan anak yang akan dilahirkan sekiranya seseorang wanita terus hidup hingga akhir tempoh umur reproduktifnya iaitu antara usia 15 hingga 49 tahun.

Maziah berkata, sekiranya kadar kesuburan terus menurun dan tiada intervensi diambil bagi menangani keadaan ini, penduduk Malaysia akan mencapai jumlah maksimum penduduk seramai 46 juta orang pada 2071 sebelum mengalami penguncupan penduduk pada 2072, yang akan menyebabkan kekurangan sumber tenaga kerja menjadi lebih serius sehingga menjejaskan pembangunan negara.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan sangat mengalu-alukan lebih banyak penemuan penyelidikan terutama dalam bidang kependudukan dan kekeluargaan untuk dijadikan input bagi membangunkan dasar, intervensi dan program berasaskan bukti yang benar-benar berkesan.

Mengenai PERKKS 22, Maziah berkata, penganjurannya tepat pada masanya dan merupakan satu daripada aktiviti bagi meraikan Bulan Keluarga Kebangsaan, yang kini dikenali sebagai Bulan Keluarga Malaysia.

"Dengan tema ‘Pemerkasaan Penduduk dan Keluarga, Teras Negara Maju’, saya berharap agar segala perkongsian baharu dan bermanfaat oleh para penyelidik akan membantu memperkukuh bidang penyelidikan kependudukan dan kekeluargaan dalam negara dan seterusnya input-input ini dapat dimanfaatkan untuk pembangunan dasar dan perancangan inisiatif dan program yang benar-benar efektif," katanya.
Artikel Berkaitan:


PERKKS 22 yang berlangsung hari ini dan esok dianjurkan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) bersama-sama United Nations Population Fund Malaysia serta Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya. - Bernama.