Lima LRA di Johor berisiko terjejas jika El Nino berterusan

Kerajaan Johor akan memantau 16 empangan di negeri itu setiap hari sebagai langkah berjaga-jaga. - Foto fail Bernama, gambar kecil: Mohamad Fazli
Kerajaan Johor akan memantau 16 empangan di negeri itu setiap hari sebagai langkah berjaga-jaga. - Foto fail Bernama, gambar kecil: Mohamad Fazli
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor kini sedang memantau paras air di lima loji rawatan air (LRA) yang berisiko terjejas susulan fenomena El Nino ketika ini.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, lima LRA berkenaan boleh turun ke paras kritikal jika cuaca panas, kering dan tiada hujan berterusan sehingga Julai.

"Lima LRA berkenaan ialah LRA Lok Heng dan LRA Sungai Gembut (Kota Tinggi), LRA Bukit Batu (Kulai), LRA Sultan Iskandar (Johor Bahru) serta LRA Tenglu (Mersing)," katanya pada sidang akhbar selepas hadir Rumah Terbuka Aidilfitri Johor Corporation (JCorp) di sini, pada Rabu.

Pada 5 Mei lalu, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dilaporkan menyenaraikan lapan negeri yang mudah dipengaruhi fenomena El-Nino yang menyebabkan cuaca kering dan panas melampau berdasarkan pengalaman kejadian El-Nino pada 2015-2016.

Dalam pada itu, Mohd Fazli berkata, 16 empangan di negeri ini akan dipantau setiap hari sebagai langkah berjaga-jaga.

"Empangan terkecil terletak di Gunung Ledang, Muar yang berkapasiti 0.39 juta meter padu hanya boleh bertahan 13 hari jika tiada hujan.

"Seterusnya Empangan Bekok, Yong Peng pula mampu bertahan selama 299 hari lagi, jika tiada hujan," katanya.

Ujarnya, kerajaan negeri telah bersiap sedia dan melakukan pelbagai langkah sebagai persediaan rapi bagi berdepan sebarang kemungkinan akibat El Nino.

"Antara langkah tersebut ialah meletakkan pam di sumber air termasuk Sungai Johor, Sungai Tiram, Tasik Biru Sri Alam selain akan memulakan projek pemindahan air mentah dari Sungai Lukah, membabitkan 10 juta liter sehari untuk disalurkan ke LRA terjejas.

"Selain itu, pembenihan awam dan catuan air antara langkah yang bakal diambil jika situasi menjadi kritikal," katanya.