Gangguan LRT: Selangor pinjamkan 20 bas bantu operasi RapidKL

Laporan Sinar Harian pada Rabu.
Laporan Sinar Harian pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor akan meminjamkan 20 bas Smart Selangor bermula Khamis bagi membantu RapidKL mengatasi masalah gangguan operasi beberapa Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) yang rosak pada Selasa.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ia berikutan jumlah bas yang tidak mencukupi untuk mengangkut pengguna LRT sebelum ini.

Beliau berkata, Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru Selangor, Ng Sze Han akan terlibat dalam perbincangan dengan pihak RapidKL untuk mengaturkan perkara tersebut.

Koordinasi bas-bas berkenaan akan diselaraskan dengan RapidKL untuk mengelakkan pertindanan perjalanan bas sedia ada yang akan diletakkan di sebahagian daripada 160 laluan bas.

"Perkara ini penting kerana sebahagian bas sedia ada mempunyai laluan tersendiri, penyelerasan ini akan membantu dari segi kelancaran dan penggunaan perkhidmatan sebaik mungkin," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang akhbar di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS) di sini, pada Rabu.

Sinar Harian pada Rabu melaporkan pengendali tren Transit Aliran Ringan (LRT), Rapid Rail masih sedang dalam proses bagi mengenal pasti punca gangguan kepada komponen elektronik sistem kawalan tren automatik atau ATC pada perkhidmatannya di Laluan Kelana Jaya.

Dalam satu kenyataan pada hari sama, syarikat itu memaklumkan masalah berlaku itu adalah sesuatu yang serius dan tidak pernah berlaku sebelum ini.

Artikel Berkaitan: