Manifesto pendidikan beri kemenangan kepada rakyat

Pelbagai tawaran dalam sektor pendidikan yang diketengahkan oleh parti politik utama pada PRU15 merupakan satu kemenangan buat rakyat. - Gambar hiasan. (Gambar dalam: Dr Anuar)
Pelbagai tawaran dalam sektor pendidikan yang diketengahkan oleh parti politik utama pada PRU15 merupakan satu kemenangan buat rakyat. - Gambar hiasan. (Gambar dalam: Dr Anuar)
A
A
A

SHAH ALAM- Pelbagai tawaran dalam sektor pendidikan yang diketengahkan oleh Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) merupakan satu kemenangan buat rakyat.

Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berkata, antara tawaran menarik yang diberi keutamaan oleh ketiga-tiga gabungan parti itu adalah pendigitalan pendidikan serta menaik taraf bangunan dan infrastruktur sekolah daif.

Menurutnya, tawaran itu menunjukkan bahawa rakyat khususnya golongan pelajar tetap akan mendapat manfaat sama daripada mana-mana parti yang menang.

"Sebagai rakyat kita tidak perlu risau kerana teras utama ketiga-tiga parti gabungan itu jelas menunjukkan semua pemimpin politik mahu mengangkat sektor pendidikan agar lebih baik pada masa akan datang.

"Tahniah kepada rakyat kerana dengan adanya manifesto yang berkaitan dengan pendidikan ini secara terang ia telah memberi kemenangan awal, " katanya di Facebook.

Dalam pada itu, beliau berkata, antara tawaran lain yang bakal memberi impak positif kepada pelajar adalah sarapan percuma kepada pelajar-pelajar sekolah yang ditawarkan oleh PH.

"Manifesto yang ditawarkan oleh PH itu dilihat sangat penting bagi memastikan anak-anak mendapat makanan yang seimbang sekali gus mengelak anak-anak mengalami tumbesaran terbantut.

"Selain itu, PN pula membantu mengurangkan beban kos sara hidup ibu bapa dengan menyediakan pengangkutan percuma kepada pelajar sekolah,"ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai tawaran BN bagi menyediakan sistem asuhan dan pendidikan awal nasional percuma kepada semua kanak-kanak yang berumur enam tahun ke bawah, beliau berkata janji tersebut dijangka memerlukan kos yang agak tinggi iaitu kira-kira RM1.5 juta.

Justeru, kerajaan wajar menjelaskan kaedah perlaksanaan tawaran itu kerana rakyat mahu melihat janji itu ditepati dan bukan sekadar cakap kosong.

"Mereka perlu menyediakan perancangan pelaksanaan, jumlah kos dan bila ia akan bermula kerana melibatkan berbilion duit rakyat.

"Jangan pula bila menang PRU pelbagai alasan diberikan sekali gus menggagalkan manifesto yang ditawarkan," katanya.