Mencari pemimpin berjiwa 'hijau'

Bencana yang tidak pernah terfikir dan tergambar oleh sesiapa, apabila banyak rumah yang hanya tinggal bumbung ditenggelami air bah.
Bencana yang tidak pernah terfikir dan tergambar oleh sesiapa, apabila banyak rumah yang hanya tinggal bumbung ditenggelami air bah.
A
A
A

PADA Isnin, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres mengeluarkan amaran keras yang mengejutkan banyak pemimpin dan penduduk antarabangsa.

"Dunia sedang menuju ke arah 'neraka iklim'."

Itu mesej tegas Guterres yang menggesa pemimpin negara berpendapatan tinggi atau rendah untuk saling bekerjasama.

Katanya, negara kaya atau miskin harus menghentikan penggunaan batu arang menjelang tahun 2030, selain mengurangkan pelepasan karbon tinggi.

Tidak ketinggalan, negara-negara dunia harus beralih kepada penggunaan produk mesra alam dan elektrik berasaskan solar.

Hakikatnya perubahan iklim dunia hari ini bukan lagi sekadar ancaman kepada flora dan fauna. Ia bukan lagi mengenai penebangan pokok dan kepupusan haiwan. Tetapi ia kini telah meragut nyawa jutaan manusia.

Dalam konteks Malaysia, hanya sekitar sebulan sahaja lagi, genap setahun kita melalui fasa paling getir tanggal 18 Disember. Tarikh yang akan diingati sebagai momen duka rakyat Malaysia apabila banjir besar membadai banyak lokasi dari Lembah Klang sehinggalah ke Pantai Timur.

Bencana yang tidak pernah terfikir dan tergambar oleh sesiapa, apabila banyak rumah yang hanya tinggal bumbung ditenggelami air bah. Nilai kerosakan yang dikatakan bernilai lebih RM15 bilion dan lebih menyedihkan meragut lebih 50 nyawa.

Walaupun memang taburan hujan yang tinggi menjadi penyebab utama bencana itu, namun hakikatnya inilah impak perubahan melampau iklim yang sedang melanda dunia.

Taburan hujan yang melampau, kemarau yang panjang dengan suhu semakin tinggi setiap tahun, memberi kesan rantaian kepada manusia sejagat.

Ini termasuklah sekuriti makanan penduduk dunia yang akhirnya membuatkan kita terpaksa berdepan dengan harga bahan makanan yang lebih tinggi setiap tahun.

Dan lebih membimbangkan ramai ketua famili yang akhirnya tidak mampu menghidangkan makanan di atas meja untuk ahli-ahli keluarga.

Lantaran itulah, dengan 21 juta rakyat Malaysia bakal memilih pemimpin pada 19 November ini, wakil rakyat yang terpilih harus turut membawa agenda menangani krisis perubahan iklim dunia sebelum terlambat.

Pemimpin berjiwa 'hijau' yang memahami dan mampu membawa kita keluar daripada 'neraka iklim'.