Manifesto BN ambil kira kepentingan semua lapisan rakyat

Tengku Zafrul yakin menerusi tawaran PADU, rakyat boleh menilai sendiri betapa BN telah mendengar dan hayati keluhan mereka. - Foto Bernama
Tengku Zafrul yakin menerusi tawaran PADU, rakyat boleh menilai sendiri betapa BN telah mendengar dan hayati keluhan mereka. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, manifesto Barisan Nasional (BN), ‘Perancangan Amal dan Usaha’ atau PADU, yang dilancarkan semalam telah mengambil kira kepentingan semua lapisan rakyat.

Justeru beliau yang juga calon BN bagi kerusi Parlimen Kuala Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yakin menerusi manifesto itu, rakyat boleh menilai sendiri betapa BN telah mendengar dan hayati keluhan mereka.

"Kepentingan semua lapisan rakyat telah diambil kira dalam manifesto BN ini. Pendekatan kita (BN) menyeluruh dan holistik,” katanya menerusi video yang dimuat naik di Facebook pada Selasa.

Tengku Zafrul berkata, antara cadangan penyelesaian masalah untuk B40 yang terkandung dalam PADU ialah Skim Bantuan Pendapatan Asas untuk isi rumah berpendapatan kurang daripada RM2,208 sebulan.

Beliau berkata, tawaran PADU bagi M40 pula, potongan cukai pendapatan sebanyak dua peratus khusus kepada kelompok itu dengan julat pendapatan RM50,000 hingga RM100,000 setahun.

Tengku Zafrul berkata, turut terangkum dalam manifesto ialah inisiatif untuk memperkasakan pendidikan, memperkasa golongan pekerja dan memulihara alam sekitar.

Beliau berkata, sesiapa pun boleh berjanji, yang susah ialah pelaksanaan namun BN sudah ada rekod prestasi mantap dalam penyaluran bantuan dan sokongan, terutamanya dalam setahun kebelakangan ini.

"Insya-ALLAH kita (BN) buat yang terbaik untuk rakyat,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: