BN tawar lima fokus utama dengan 99 tawaran

Ahmad Zahid dalam Majlis Pelancaran Manifesto BN pada Isnin.
Ahmad Zahid dalam Majlis Pelancaran Manifesto BN pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Kesejahteraan rakyat, pertumbuhan ekonomi yang stabil, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan serta pendidikan, adalah antara keutamaan manifesto Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, manifesto yang dinamakan Perancangan Amal dan Usaha BN (PADU) menggariskan lima fokus utama dan 99 tawaran yang akan dinikmati pelbagai golongan masyarakat terutamanya kumpulan B40 dan M40 selain tidak melupakan golongan T20.

Katanya, fokus pertama yang diutamakan oleh BN adalah menghapuskan kemiskinan mutlak melalui Skim Bantuan Pendapatan Asas yang dikreditkan secara automatik setiap bulan kepada semua isi rumah yang berpendapatan kurang daripada RM2,208 sebulan.

“BN juga menjanjikan potongan cukai pendapatan sebanyak 2 peratus khusus kepada golongan M40, dengan julat pendapatan RM50,000 hingga RM100,000 setahun.

“Skim ini jalan paling adil. Tiada lagi isi rumah yang hidup di bawah garis kemiskinan,” katanya pada majlis pelancaran Manifesto BN malam ini.

Kata Ahmad Zahid lagi, antara perkara diletakkan dalam manifesto ini adalah penekanan pemodenan pendidikan awal, sekolah dan pengajian tinggi.

Usaha ini dilihat sangat penting bagi memastikan kumpulan sasaran mendapat impak yang maksima selari dengan kehendak dan cabaran semasa, dipacu teknologi terkini, berkualiti dan menyeronokkan.

“Sehubungan itu, berita baik buat ibu bapa yang mempunyai anak berusia enam tahun ke bawah kerana BN akan memperkenalkan asuhan nasional percuma untuk semua kanak-kanak dalam lingkungan usia tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Selain itu, BN ingin memperkenalkan kemahiran abad ke-21 demi memperkasakan bahasa pengaturcara (coding), pemikiran kreatif serta pembelajaran bahasa komunikasi asas etnik lain di semua sekolah,” katanya.

Katanya lagi, BN juga berjanji akan melaksanakan pendigitalan secara besar-besaran apabila sistem persekolahan tanpa buku teks dan komputer riba percuma kepada golongan B40.

“Jaringan Internet 5G akan diperkenalkan di semua sekolah dalam tempoh 18 bulan,” katanya.

No Image Caption

Kata Ahmad Zahid lagi, sebagai pelan penamat kemiskinan jangka panjang, pengajian tinggi percuma akan diperkenalkan kepada semua individu dari keluarga B40.

Kos pengajian tinggi juga akan dikurangkan sehingga separuh kos pengajian melalui sistem pengajian anjal dimana 50 peratus di kampus dan 50 peratus atas talian.

“Malah, selepas ini, bagi menghapuskan eksploitasi, semua mahasiswa atau sesiapa sahaja yang melakukan latihan amali akan diwajibkan bayaran elaun oleh majikan,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai isu pelantikan jawatan utama negara, Ahmad Zahid berkata BN akan menggubal Akta Pendanaan Politik.

“Pelantikan jawatan utama negara seperti Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan melalui saringan jawatankuasa khas Parlimen.

“Melalui wakil mereka di Parlimen, rakyat akan diberikan mandat untuk meneliti dan terlibat dalam tapisan pelantikan jawatan awam terpenting di negara ini,” katanya.

Katanya lagi, bagi menyelesaikan isu warganegara yang dihadapi oleh anak-anak yang lahir melalui perkahwinan campur atau ibu bapa berlainan negara, BN bersedia untuk meminda Perlembagaan Persekutuan.

“BN bersedia untuk meminda Perlembagaan Persekutuan berkenaan hak kewarganegaraan anak yang dilahirkan di luar negara oleh wanita Malaysia yang berkahwin dengan warganegara asing.

“Ini kita lakukan atas kesedaran bahawa patriotisme dan nilai sayangkan negara itu hadir dari kerencaman dan keterangkuman,” katanya.