Penduduk sifatkan banjir paling buruk, dah macam laut

Penduduk menunjukkan paras air yang naik ketika banjir kilat melanda Kampung Kurnia pada malam Isnin lalu.
Penduduk menunjukkan paras air yang naik ketika banjir kilat melanda Kampung Kurnia pada malam Isnin lalu.
A
A
A

JOHOR BAHRU – “Dah macam laut.” Itu reaksi, Rosinah Roslan, 77, penduduk di Jalan Oleh-Oleh, Kampung Kurnia di sini ketika menceritakan keadaan banjir kilat yang melanda kawasan rumahnya pada malam Isnin lalu.

Menurut Rosinah, biarpun kawasan rumahnya sering dinaiki air, namun banjir kilat pada malam Isnin lalu disifatkan sebagai yang paling buruk.

Bagaimanapun katanya, mujurlah tidak banyak peralatan rumah yang rosak akibat banjir kilat berkenaan.

Rosinah
Rosinah

“Banjir di sini bukan baru, dah bertahun-tahun. Kalau hujan lebat beberapa jam, air di depan ni dah macam laut...sampai ke dalam rumah saya, air kotor lagi.

“Sampah dari depan pun masuk ke rumah saya. Gate (pintu pagar) saya ni pun ditolak oleh air sampai terbuka,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Pada Isnin, Angkatan Perkhidmatan Awam (APM) melaporkan beberapa kawasan di sekitar Johor Bahru dinaiki air susulan hujan lebat petang semalam.

Antara kawasan terlibat adalah Jalan Oleh-Oleh dan Jalan Kurniawati di Kampung Kurnia dan Jalan Keris 2 di Taman Seri Tebrau.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, tinjauan Sinar Harian di ketiga-tiga kawasan berkenaan pada Selasa, mendapati air sudah pun surut dan penduduk sibuk membersihkan kediaman masing-masing.

Dalam pada itu penduduk di Jalan Kurniawati, Azmi Abdul Rahman, 31, berkata, ketika kejadian dia tidak berada di rumah kerana bekerja.

Azmi
Azmi

Namun ketika pulang ke rumah sekitar jam 11 malam, dia melihat air sudah naik sehingga ke paras pinggang.

“Saya tak ada di rumah masa tu kerana bekerja tetapi ibu saya telefon beritahu banjir.

“Mujur barangan berharga seperti barangan elektrik tidak terjejas dan saya juga dapat selamatkan beberapa barangan lain,” katanya.

Sementara itu penduduk di Jalan Keris 2, Taman Seri Tebrau, Nurul Jannah Habib, 26, memaklumkan masalah banjir kilat sudah dialami penduduk sejak sekian lama.

Nurul Jannah
Nurul Jannah

Sehubungan itu dia berharap pihak berwajib dapat mengambil langkah yang sepatutnya bagi membantu menangani permasalahan berkenaan.

“Kami penduduk di sini berharap pihak berkenaan dapat melihat isu ini sebagai perkara serius, kami dah hadapi beberapa tahun.

“Harap mereka juga lebih prihatin dengan bertanya kepada penduduk apa yang diperlukan seperti bantuan tenaga dan perkara-perkara lain yang sepatutnya,” katanya.