Usah pertikai kewujudan alam ghaib

A
A

PADA tanggal 23 Mac lalu, barangkali tiada peristiwa penting berlaku ke atas diri kita. Namun, berlainan pula dengan keluarga Mohammad Ashraf Hassan atau Acap.

Ibu bapa, adik-beradik, isteri termasuk saudara-mara lelaki berusia 29 tahun itu dirundung rasa duka dan bingung. Acap yang menyertai larian Gopeng Ultra Rail tidak muncul di garisan penamat meskipun berada pada kedudukan 10 teratas bagi peserta 25 kilometer.

Seperti yang dilaporkan media, bukan sahaja pihak berkuasa malah masyarakat setempat, agamawan termasuk golongan paranormal muncul membantu mencari Acap. Pun demikian, setakat artikel ini ditulis, usaha mencarinya masih menemui jalan buntu.

Pada asalnya, kes Acap seperti kes-kes lain yang menyaksikan mereka akan muncul dua hingga tiga hari selepas operasi menyelamat. Namun, selepas 18 hari tiada sebarang signal positif, ia menyebabkan pelbagai spekulasi liar bertebaran.

Ada yang mendakwa, Pembantu Makmal di Klinik Kesihatan Daerah Muar itu disorok bunian, dibawa makhluk halus ke alam mereka dan beberapa andaian yang menakutkan.

Di sebalik misteri kehilangan ini, natijahnya, masyarakat kita dilihat terbahagi kepada dua kelompok.

Golongan pertama ialah mereka yang terlampau percayakan kononnya Acap kini berada di alam bunian. Golongan kedua pula yang bermati-matian menolak andaian itu. Mereka lebih memikirkan kemungkinan kes Acap seperti Nur Umaisarah Sameon yang dijumpai semula selepas 19 hari hilang di Gunung Tahan, 10 tahun lalu.

Namun, dalam konteks agama, kita wajib untuk percaya perkara-perkara dan alam ghaib ini.

Kewujudan jin

Bagi mengulas lanjut hal tersebut, Sinar Islam mewawancara Presiden Gabungan Persatuan Perubatan Islam Malaysia, Ustaz Fauzi Mustafa.

Ustaz Fauzi berkata, alam bunian, jin, syaitan, malaikat mahupun kubur, semua itu adalah alam ghaib.

"Ia memang tak boleh disaksikan oleh pandangan mata kasar manusia," ujarnya.

ALLAH SWT berfirman: "Wahai anak-anak Adam! Janganlah kamu diperdayakan oleh syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapa kamu dari syurga, ia melucutkan pakaian mereka berdua untuk memperlihatkan aurat mereka berdua. Sesungguhnya syaitan dan kaumnya melihat kamu di mana kamu tidak dapat melihat mereka. Sesungguhnya Kami telah menjadikan syaitan-syaitan itu teman rapat bagi orang-orang yang tidak beriman." (Surah al-A'raf: 27)

Berdasarkan ayat itu, katanya, makhluk halus, syaitan, jin, bunian, langsuir atau hantu raya boleh melihat kita. Namun, manusia tidak boleh berbuat demikian.

Justeru, bagaimana situasi yang mengaitkan kehilangan Acap yang didakwa telah disorok jin atau makhluk halus? Ustaz Fauzi berkata: "Kita hanya boleh membuat kebarangkalian semata-mata."

Merujuk kes mangsa, beliau berkata, segala usaha secara fizikal telah dilakukan iaitu melalui operasi mencari dan menyelamat oleh bomba dan pihak berkuasa lain. Malangnya, tiada perkhabaran positif.

"Maka, ia akan pergi kepada kebarangkalian nombor dua sebab hutan ini kawasan makhluk halus dan seumpama dengannya. Bukan sahaja hutan, bahkan, paya, sungai, laut, bukit dan gunung iaitu semua kawasan yang bukan menjadi tempat tinggal manusia, dihuni mereka.

"Saya sebutkan di sini hanya kebarangkalian sahaja sebab memang itulah tempat makhluk halus. Namun, tidak pasti lagi sama ada benar atau tidak. Tidak kiralah tok bomoh, tok batin, dukun atau pawang, semuanya hanya buat andaian saja.

"Lagipun, mereka pun tak nampak makhluk halus. Andai kata jin yang sorok mangsa, mungkin yang membisikkan perkara itu kepada mereka adalah jin juga kerana hanya jin saja boleh nampak. Kita kena ingat, jin boleh boleh berbohong," jelas beliau.

Apa sekalipun, kata Ustaz Fauzi, realitinya memang manusia boleh disorok oleh jin. Perkara tersebut pernah berlaku ketika zaman sahabat Nabi SAW yang bernama Khurafah.

Cerita Ustaz Fauzi, ketika Khurafah berjalan, beliau ternampak seekor ular melintas di depannya. Lalu, beliau mengambil tongkat dan memukul ular itu sehingga mati.

Kemudian, Khurafah merasakan seolah-olah dirinya dibawa ke satu alam lain yang belum pernah dilihatnya. Ketika itu, lelaki itu merasakan ada makhluk-makhluk tertentu yang mengiringinya. Beliau dibicarakan di mahkamah atas sebab membunuh ular itu tadi.

"Maka, kalangan bunian atau jin yang mengiringi Khurafah tadi memberitahu hakim bahawa Khurafah telah membunuh kalangan kita (jin) yang telah menjelma menjadi seekor ular yang masuk ke alam manusia.

"Lalu, hakim membuat keputusan, manusia (Khurafah) tidak bersalah. Sebab kenapa? Sebab bunian menjelma ke alam manusia menjadi ular, sedangkan haiwan itu menjadi musuh mereka. Pastinya manusia akan membunuh ular. Khurafah akhirnya dibebaskan," cerita Ustaz Fauzi.

Begitupun, dalam kes kehilangan Acap, Ustaz Fauzi menitipkan pesan agar kita perbanyakkan amalan solat hajat memohon petunjuk daripada Yang Maha Esa.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia