KKMM tiada kuasa ambil tindakan bocor embargo

Eddin Syazlee Shith. - Foto Sinar Harian Zahid Izzani
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Komunikasi dan Multimedia tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan terhadap perbuatan membocorkan embargo Kertas Putih Felda kerana individu yang melakukannya bukan kakitangan kerajaan, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri berkenaan Eddin Syazlee Shith berkata, perkara ini akan diambil tindakan oleh pihak-pihak yang bertanggungjawab, bersesuaian dengan niat atau perbuatan seseorang individu tersebut.

“Kalau berkaitan dengan kakitangan kerajaan, itu perkara yang kita sentiasa titikberatkan dan menjadi keutamaan (jangan bocor embargo).

“Tetapi sekiranya ia dilakukan bukan kakitangan kerajaan dan secara terang memanipulasi keadaan, ia tidak berada dalam kawalan kami.

“Saya percaya pihak bertanggungjawab akan ambil tindakan bersesuaian,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) dalam sesi soal jawab yang ingin tahu status isu embargo Kertas Putih Felda. Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali telah mengemukakan satu usul supaya bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dikenakan tindakan keras kerana melanggar embargo Kertas Putih ‘Ke Arah Kelestarian Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).

Terdahulu, menjawab soalan asal Datuk Dr Abd Latiff Ahmad (BN-Mersing) mengenai langkah kementerian menangani ketirisan data peribadi melibatkan sektor perkhidmatan, Eddin berkata, Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709) telah dikuatkuasakan pada 15 November 2013 untuk mengawal selia pemprosesan data peribadi dalam transaksi komersial.

“Setiap pengguna data (syarikat yang memproses data peribadi untuk transaksi komersial tersebut) wajib mematuhi Prinsip Perlindungan Data Peribadi dalam mengendalikan data peribadi subjek data (pemilik data peribadi) bagi memastikan data peribadi tersebut tidak disalahgunakan,” katanya.

Tegasnya, Akta 709 juga mewajibkan pendaftaran bagi setiap pengguna data dan sehingga Februari 2019, sebanyak 13,739 pengguna data telah berdaftar.

Menurutnya, kegagalan untuk mendaftar di bawah Akta 709 adalah satu kesalahan yang mana jika sabit kesalahan, pengguna data boleh didenda didenda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak lebih 3 tahun atau kedua-duanya. - Bernama