Hutang ceti haram hanya bawa lebih tekanan

Berhutang dengan ceti haram boleh diumpamakan seperti terlepas mulut buaya masuk pula mulut harimau.
Berhutang dengan ceti haram boleh diumpamakan seperti terlepas mulut buaya masuk pula mulut harimau.
A
A
A

KES melibatkan ceti haram bukan baharu dalam negara, malah ia dilihat seperti pilihan terakhir oleh sesetengah pihak susulan mendakwa ia paling mudah lulus asalkan gaji masuk dalam akaun bank setiap bulan.

Iklan yang ditawarkan oleh mereka (ceti haram) pula merata tempat sehingga tiang elektrik, tiang telekomunikasi dan pokok tumbang pun boleh. Asal boleh, janji mesejnya sampai.

Bagaimanapun, ia umpama terlepas mulut buaya masuk pula mulut harimau. Pinjaman yang dibuat daripada ceti haram itu untuk melangsaikan hutang lain tetapi terperangkap pula dengan ceti haram, malah kad bank juga dipegang mereka.

Disebabkan terdesak, ditambah pula kesan daripada masalah ekonomi akibat Covid-19, mereka terpaksa meminjam daripada ceti haram. Dakwa mereka, pinjaman dengan bank sukar lulus terutama bagi peminjam yang tidak mempunyai pekerjaan tetap, selain pendapatannya tidak menentu.

Maka, si peminjam tiada pilihan lain walaupun awalnya cuba membuat pinjaman daripada ahli keluarga, saudara-mara dan rakan-rakan tetapi tidak berhasil kerana masing-masing juga dalam proses bangkit semula kesan daripada wabak Covid-19.

Bagaimanapun, ada juga kes terdesak membayar hutang asas seperti bil elektrik, air, rumah mahupun kenderaan yang mencecah ribuan ringgit kerana perangai sendiri yang ‘tidak reti’ bahasa serta suka bertangguh membayar hutang.

Bukan disebabkan masalah gaji tetapi diri sendiri yang tidak bertanggungjawab sehingga tindakan susulan terpaksa dilakukan oleh pihak bank ataupun pihak berkaitan selepas beberapa kali notis amaran dimaklumkan.

Pinjaman lulus, bunga tinggi

Artikel Berkaitan:

Disebabkan terpaksa, maka ‘layan’ sahaja asalkan hutang tertunggak itu dapat diselesaikan bagi mengelak rumah dilelong bank ataupun dipotong bekalan air dan elektrik demi kelangsungan hidup.

Masalah lain pula timbul apabila si peminjam didakwa ‘sangkut’ untuk membuat pembayaran setiap bulan sehingga kediaman keluarga menjadi mangsa.

Lain pula kisahnya apabila peminjam mendakwa hutang sudah langsai tetapi entah siapa yang salah sehingga ceti haram masih membuat ugutan terhadap keluarga peminjam, lebih mengharukan apabila ceti haram itu tersalah membuat ugutan kepada orang lain yang tiada kena mengena dalam kes.

Contohnya di Seremban, Negeri Sembilan baru-baru ini, sebuah keluarga terpaksa menanggung kerugian apabila kereta dan sebahagian rumah mereka terbakar dipercayai perbuatan ceti haram dari Singapura.

Kejadian itu pula bukan satu tetapi ada mangsa lain juga di Seremban. Kediaman mereka terbakar disyaki dilakukan oleh ceti haram dari negara sama.

Namun, ada juga individu yang terlibat dalam aktiviti ceti haram berjaya didakwa di mahkamah, antaranya di Mahkamah Majistret Tampin, Negeri Sembilan, dua penganggur termasuk seorang remaja 19 tahun mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan membantu kegiatan ah long atau pemberi pinjaman wang tidak berlesen.

Sebenarnya pihak berkuasa dan kerajaan sudah acap kali memberi pesan berhubung ceti haram. Sebagai rakyat Malaysia, terimalah hakikat bahawa pinjaman daripada ceti haram bukannya membantu menyelesaikan masalah hutang, sebaliknya memberi lebih banyak tekanan.

Tetapi seperti yang diketahui, masalah dan dugaan setiap individu adalah berbeza sehingga menyebabkan mereka terdesak berbuat demikian.

Sebaiknya janganlah membuat pinjaman daripada ceti haram kerana ia hanya membawa kepada ketidaktentuan dalam hidup, selain menyusahkan banyak pihak.

Rujuk pihak bertanggungjawab untuk urusan pinjaman berkenaan, tambahan pula banyak jawatankuasa ditubuhkan bagi membantu rakyat sama ada di peringkat persekutuan ataupun negeri termasuklah wujudnya pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Sebagai cadangan lain mereka boleh lakukan penstrukturan semula hutang melalui Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) mengikut syarat yang ditetapkan.

Jika hilang pedoman kembali semula kepada pencipta mengikut kepercayaan agama masing-masing. Mohon petunjuk tetapi sebenarnya walau dalam keadaan senang dan susah hendaklah sentiasa dahulukan agama. Insya-ALLAH jika tahu hala tuju, apa juga masalah boleh selesai sekali gus mematangkan diri.

*Norafidah Assan ialah wartawan Sinar Harian Negeri Sembilan