[VIDEO] Nelayan mahu Akta Perikanan 1985 dipinda

Nelayan mengharapkan kerajaan baharu selepas PRU15 dapat meminta akta Perikanan 1985. (Gambar kecil dari kiri: Mat Sani, Mansor, dan Zakaria)
Nelayan mengharapkan kerajaan baharu selepas PRU15 dapat meminta akta Perikanan 1985. (Gambar kecil dari kiri: Mat Sani, Mansor, dan Zakaria)
A
A
A

KUANTAN - Nelayan tradisional mahu kerajaan baharu meminda Akta Perikanan 1985 bagi menyelesaikan pelbagai isu seperti kelas lesen nelayan kecil, bot tempatan menggunakan kru asing dan pencerobohan nelayan asing di perairan negara.

Harapan itu yang disandarkan kepada calon-calon bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) supaya dapat membawa suara golongan itu ke Dewan Rakyat sekali gus membela nasib mereka.

Bagi Ketua komuniti nelayan Kuantan, Mat Sani Tahir, 62, berkata, sudah tiba masanya dasar dan peraturan baharu dalam Akta Perikanan 1985 dipinda bagi membolehkan nelayan tempatan mengaut hasil lebih di perairan sendiri.

Tegasnya, bagi mencapai matlamat itu kerajaan baharu perlu menghadkan zon penangkapan bot yang menggunakan guna tenaga asing yang membabitkan lesen bot kelas C.

"Sebagai contoh lesen candat sotong, hampir 100 peratus yang bekerja adalah nelayan asing, mereka ini tidak reti undang-undang. Pemilik bot pula tidak sampaikan mesej secara jelas kepada nelayan asing ini (pekerja mereka).

"Kita pula yang tersepit, jadi nelayan asing ini perlu disiasat betul-betul lesen kerana mungkin ada lesen klon yang mereka guna dan ini sebenarnya akan menjadi satu masalah apabila ada satu lesen tetapi dua tiga bot digunakan," katanya ketika ditemui Sinar Harian di wakaf nelayan Peramu di sini pada Isnin.

Mat Sani yang menjadi nelayan hampir 40 tahun berkata, isu nelayan sejak puluhan tahun gagal diselesaikan dan mereka mahu pemimpin yang boleh membawa isu berkenaan ke sidang Parlimen.

"Pemimpin terdahulu tidak membawa keluh kesah kami ke Parlimen, bila tiada suara isu ini tidak akan selesai.

Artikel Berkaitan:

"Jadi, kita harap selepas ini ada lantikan pemimpin yang cakna dalam isu nelayan dan mahu membantu kami serta dapat membuka mata kerajaan untuk mengetahui apa sebenarnya nelayan sedang lalui," ujarnya.

Senada dengan itu, Zakaria Daud, 59, menjelaskan, keadaan lebih padah apabila ada bot tempatan yang diusahakan rakyat asing itu memindah hasil mereka ke bot negara luar ketika berada di tengah laut untuk dibawa pulang ke negara mereka.

Dakwanya, hasil laut yang kurang berkualiti pula didaratkan di jeti sekadar memenuhi syarat bagi mendapatkan kemudahan seperti minyak subsidi.

"Jadi, saya minta Kerajaan Malaysia meminda semula masa Akta 1985 (Perikanan), kalau boleh biar ada bumiputera ataupun nelayan tempatan.

"Bila ada orang tempatan, nelayan asing ini tidak akan bebas dan hasil tidak akan dibawa ke luar ke negara luar," jelas Zakaria lagi.

Mansor Said, 61, pula mengharapkan agar ada sinar baharu kepada nelayan selepas berakhirnya PRU15.

Dia yang lebih 30 tahun menjadi nelayan mengharapkan pertambahan intensif musim tengkujuh memandangkan kos sara hidup semakin meningkat kepada RM400.

Selain itu, Mansor meminta agar kelas lesen untuk nelayan kecil dikaji semula dengan membolehkan nama kedua diletakkan dalam syarat perlesenan.

"Dasar perikanan memang kena ubah sebab kami lesen kelas A tidak boleh meletakkan nama pendua.

"Kalau boleh beri kelonggaran kepada dua nama dimasukkan dalam satu lesen, sebab kalau ayah tidak boleh pergi ke laut sekurang-kurangnya anak boleh juga menjalankan aktiviti tangkapan.

"Bila tiada nama pendua, bila kami ketua keluarga sakit, anak tidak dapat keluar ke laut bimbang kena saman dan kompaun oleh penguat kuasa," luahnya.