Banjir kilat mula melanda kawasan Johor Bahru

Anggota APM melakukan pemantauan di kawasan banjir kilat di Kampung Kurnia dan Taman Sri Terbrau di Johor Bahru, pada petang Isnin.
Anggota APM melakukan pemantauan di kawasan banjir kilat di Kampung Kurnia dan Taman Sri Terbrau di Johor Bahru, pada petang Isnin.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Banjir kilat mula melanda beberapa kawasan di daerah ini selepas hujan lebat selama lebih dua jam pada petang Isnin.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) dalam satu kenyataan memberitahu, antara yang terjejas teruk di Kampung Kurnia dan Taman Sri Terbrau selepas dinaiki air pada jam 6 petang.

Jelas JPBD, lapan buah rumah di Kampung Kurnia dinaiki air melibatkan tiga buah di Jalan Ole Ole dan lima buah di Jalan Kurniawati.

"Sementara di Taman Sri Terbrau pula 40 buah rumah terjejas selepas air naik setinggi 0.6 meter. Bagaimanapun tiada penduduk dari Kampung Kurnia dan Taman Sri Terbrau dipindahkan ke PPS.

"Lapan anggota Angkatan Pertahaan Awam Malaysia (APM) dan pihak polis masih memantau keadaan di dua lokasi itu sehingga kini. Punca banjir kilat dipercayai daripada sistem perparitan," menurut kenyataan tersebut.

Sementara itu, JPBD berkata, bilangan mangsa banjir di Segamat kini berjumlah 57 orang daripada 18 keluarga yang dipindahkan ke tiga pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 8 malam Isnin.

Antara rumah mangsa yang dinaiki air.
Antara rumah mangsa yang dinaiki air.

Daripada jumlah itu katanya, 39 orang melibatkan 12 keluarga dari Kampung Seberang Batu Badak dan Kampung Batu 5 ditempatkan di PPS di Balai Raya Kampung Batu Badak.

Artikel Berkaitan:

"Sementara empat orang daripada sebuah keluarga dari Kampung Kuala Paya ditempatkan di PPS di Balai Raya Kampung Kuala Paya," kata JPDB.

JPBD memaklumkan, 14 orang lagi yang melibatkan lima keluarga juga dari Kampung Seberang Batu Badak ditempatkan di PPS Dewan Komuniti Tasek.