Kematian pelatih NHDP akibat pembuluh darah ke otak pecah

Mohd Yusri (Laporan Sinar Harian pada Ahad.)
Mohd Yusri (Laporan Sinar Harian pada Ahad.)
A
A
A

IPOH - Pembuluh darah ke otak pecah (Intracranjal Hemorrhage) menjadi punca kematian pelatih Program Pembangunan Hoki Negara (NHDP) yang meninggal dunia di asrama Majlis Sukan Negara (MSN) Perak di sini pada Ahad.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, ia adalah hasil bedah siasat ke atas mayat Bill Wolfson Anak Lianie, 14, yang dilakukan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) pada 9 pagi tadi.

"Hasil siasatan lanjut, ibu si mati mengesahkan anaknya memang mempunyai rekod masalah kesihatan sejak kecil," katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.

Beliau berkata, susulan itu, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat mendiang akan dibawa pulang ke Kuching, Sarawak bagi urusan pengebumian.

Wolfson yang mengikuti Program Klinik Penjaga Gol di Akademi Hoki Raja Ashman di sini mengadu tidak selesa serta berasa hendak pitam sebelum tiba-tiba rebah di biliknya pada kira-kira 7 pagi semalam.

Beliau antara penjaga gol di Pusat Latihan Daerah NHDP di Sekolah Menengah Kebangsaan Penrissen, Kuching yang terpilih mengikuti klinik penjaga gol dikendalikan oleh NHDP bermula Sabtu lepas hingga semalam.

Wolfson ditemani Ketua Jurulatih Remaja Negeri Sarawak, Wilina Mac Carina Anak Wilson dan tiba di Ipoh Khamis lepas dengan menaiki penerbangan bagi menghadiri klinik penjaga gol berkenaan sempena penganjuran Piala Sultan Azlan Shah. - Bernama

Artikel Berkaitan: