Tawan hati pengundi dengan kejujuran: Chegu Thanen

Thanenthiran (kiri) sedang berbual dengan pengundi dalam siri kempennya di Parlimen Nibong Tebal.
Thanenthiran (kiri) sedang berbual dengan pengundi dalam siri kempennya di Parlimen Nibong Tebal.
A
A
A

NIBONG TEBAL - Kejujuran merupakan senjata utama calon Parlimen Nibong Tebal, Datuk Seri RS Thanenthiran mendekati pengundi di Parlimen tersebut termasuk pengundi muda dan penyokong tegar parti lawan.

Beliau yang juga Presiden Parti Makkal Sakti mengakui, bukan mudah untuk berkempen di kawasan tersebut yang merupakan kubu kuat Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebelum ini.

Bagaimanapun kata beliau, dengan adanya jentera parti yang sentiasa setia dan memberi sokongan padu, ia menyuntik semangat kepadanya Thanenthiran untuk lebih mendekati rakyat Nibong Tebal.

"Saya tiada rahsia untuk menawan hati pengundi di sini melainkan sikap sebenar saya, kejujuran. Sejak dari dahulu lagi, saya jujur dalam melakukan apa sahaja kerja termasuk kerja hakiki saya sebagai seorang guru bahasa Inggeris.

"Saya tidak mahu berjanji terlalu banyak, cuma saya minta beri saya lima tahun untuk saya melakukan perubahan di sini. Jika saya gagal, saya sendiri tidak akan bertanding lagi dan pengundi jangan mengundi saya (lagi) selepas ini," katanya ketika ditemui di Bilik Gerakan BN Parlimen Nibong Tebal di sini pada Isnin.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kerusi Parlimen Nibong Tebal dimenangi Mansor yang bertanding atas tiket PKR dengan undi sebanyak 35,395 menewaskan Datuk Shaik Hussein Mydin (BN) dengan jumlah undi sebanyak 19,578 undi manakala Mohd Helmi Harun (Pas) memperoleh 6,875 undi dan Tan Tee Beng (Bebas) (331 undi).

Kerusi Parlimen Nibong Tebal menyaksikan pertandingan empat penjuru di mana Thanenthiran atau lebih dikenali sebagai Chegu Thanen akan bertembung dengan penyandang kerusi itu, Datuk Mansor Othman daripada Perikatan Nasional (PN), Fadhlina Sidek (PKR) dan seorang calon Bebas, Goh Kheng Huat.

Beliau yang berusia 59 tahun berkata, sejak tiga hari lalu menjalankan kempen di seluruh Parlimen Nibong Tebal termasuk tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Sungai Acheh, Sungai Bakap dan Jawi, penerimaan pengundi terhadapnya sangat menggalakkan.

Artikel Berkaitan:

Thanenthiran
Thanenthiran

"Terus terang saya katanya, tanggungjawab yang diberikan kepada saya amat besar. Bagaimanapun, saya akan terus berusaha untuk menjalankan amanah ini demi kepentingan rakyat. Sekarang saya tinggal di Bagan namun akan berpindah ke sini selepas menang kelak," katanya.

Thanenthiran yang dilahirkan di Baling, Kedah berkata, beliau akan membawa pembaharuan dari segi infrastruktur dan membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat khususnya golongan belia.

"Saya lihat, Nibong Tebal bukannya maju tetapi pembangunannya sangat terkebelakang. Perkara-perkara asas seperti jalan berlubang, isu parkir kereta, masalah bekalan air yang telah lama membelenggu penduduk dan tiada terminal bas.

"Isu-isu asas seperti ini sepatutnya telah lama diselesaikan. Selama 15 tahun, tiada pembaharuan langsung di sini. Saya kasihan dengan penduduk di sini. Mereka sepatutnya mendapat taraf kehidupan yang lebih baik.

"Selain itu, saya dapati ramai anak muda tidak bekerja kerana tiada peluang pekerjaan di sekitar kawasan ini, malah ramai juga yang sudah berhijrah untuk mencari pekerjaan di luar," katanya.

Bapa kepada tiga cahayamata itu berkata, Nibong Tebal bukan kawasan asing baginya kerana sebelum diumumkan sebagai calon, beliau kerap ke kawasan tersebut untuk membantu rakyat yang memerlukan pertolongan.