Saya bukan calon pembangkang: Ronald

Ronald ketika hadir pada program santai di Kampung Muanad 3 di Beluran.
Ronald ketika hadir pada program santai di Kampung Muanad 3 di Beluran.
A
A
A

BELURAN - Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee menegaskan bahawa beliau bukan calon pembangkang sebaliknya bagi mewakili Perikatan Nasional (PN) yang merupakan sebahagian daripada kerajaan untuk mempertahankan kerusi Parlimen Beluran pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini.

Jelasnya lagi, ini bukan pertama kali logo PN digunakan di Sabah di mana dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada tahun 2020, ia telah digunakan oleh calon yang menganggotai kabinet kerajaan Sabah.

"Saya adalah ahli Bersatu dan oleh itu tidak berbangkit sama sekali soal bahawa saya adalah kononnya calon pembangkang.

"Bersatu adalah komponen parti dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan juga komponen penting dalam gabungan PN di peringkat nasional," katanya semasa program santai di Kampung Muanad 3, di sini, pada Ahad.

Justeru, Ronald berkata, PRU15 kali ini sudah tentu kerusi yang diwakili calon GRS adalah kerusi untuk mengukuhkan PN di peringkat nasional.

"Saya yakin, PN merupakan platform tepat bagi terus mengangkat aspirasi masyarakat Beluran di peringkat nasional berdasarkan kepada rekod pencapaian dan keupayaan pemimpin yang terpilih," katanya.

Beliau yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan, menyatakan keyakinan bahawa PN adalah platform yang tepat bagi untuk terus mengangkat aspirasi masyarakat Beluran di peringkat nasional berdasarkan kepada rekod pencapaian dan keupayaan pemimpin yang

terpilih.

Artikel Berkaitan:

"Apa yang penting, agenda besar mesti terus diangkat di kawasan ini (Beluran) bagi pembangunan berterusan serta

mengangkat masalah kekurangan infrastruktur dan jurang perbezaan peruntukan pembangunan yang masih berlaku di kawasan luar bandar Beluran.

"Pembangunan dan kemajuan di Beluran perlu diteruskan bersandarkan kepada visi, rancangan dan pelan yang dibawa serta kemampuan pemimpin.

"Ia bukannya bersandarkan kepada politik kotor dan serangan peribadi untuk melemahkan pihak lawan," katanya.

Mengenai pertembungan lima penjuru di Parlimen Beluran kali ini, Ronald menyifatkan ia adalah satu 'perlawanan mesra' yang perlu diterima secara matang oleh semua pihak.

"Ini juga berlaku di Parlimen Ranau yang turut menyaksikan calon Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) bertanding bersama-sama calon yang diketengahkan oleh GRS," katanya.

Beliau berkata, rakyat tempatan tentu sekali akan membuat pilihan mereka berdasarkan rekod perkhidmatan dan kebolehan calon-calon yang bertanding.

Kerusi Parlimen Beluran menyaksikan pertandingan lima penjuru dengan calon lain ialah Rowiena Rasid daripada Parti Warisan (Warisan), Hausing Samsudin @ Sudin (Pejuang) dan Felix Joseph Saang daripada Pakatan Harapan (PH).