Arsenal kembali potong Manchester City

Gabriel meraikan tiga mata Arsenal bersama pemain lain ketika kunjungan ke Stamford Bridge. Foto Agensi
Gabriel meraikan tiga mata Arsenal bersama pemain lain ketika kunjungan ke Stamford Bridge. Foto Agensi
A
A
A

MIKEL Arteta memuji karakter para pemain Arsenal yang menunjukkan kematangan walaupun masih muda semasa kemenangan 1-0 ke atas Chelsea di Stamford Bridge.

Gabriel Magalhaes menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-63', yang dijanakan hasil daripada sentuhan Bukayo Saka.

Kemenangan itu mengembalikan The Gunners ke puncak Liga Perdana Inggeris memintas juara bertahan Manchester City, sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalah Arteta di Stamford Bridge, sejak dia memegang tampuk pemerintahan kelab sensasi London itu pada Disember 2019.

Untuk rekod, Arsenal mempunyai skuad termuda dalam liga, dengan purata umur skuad 24.7 tahun (daripada pemain yang pernah bermain di liga utama musim ini) berbanding Chelsea dengan 27.7 tahun.

Mata ke-34 selepas mengharungi 13 perlawanan liga itu, menyaksikan Arteta mengakui berbangga dengan ketenangan dan kematangan skuad mudanya.

"Saya sangat kagum. Kami adalah pasukan muda, namun menunjukkan banyak kematangan, ketenangan, keberanian untuk bermain dengan cara kami bermain di pentas ini.

“Itu mudah untuk dikatakan tetapi sebenarnya sangat sukar untuk dilakukan. Saya rasa para permain Arsenal benar-benar luar biasa hari ini," katanya.

Sementara itu, walaupun menang di barat London menentang Chelsea yang sebelum ini hanya tewas satu perlawanan di bawah pengurus Graham Potter, Arteta menegaskan pasukannya belum bersedia menjadi pesaing kejuaraan.

Artikel Berkaitan:

“Ini kami hari ini. Tetapi dalam bola sepak, hari ini dan esok sangat berbeza. Jadi mari kita nikmati kemenangan kali ini.

“Chelsea pula menunjukkan secara konsisten dalam setiap pertandingan. Kita harus sangat menghormati itu.

“Kami menjadi lebih baik sebagai satu pasukan dan bersaing dengan lebih baik. Kami mendapat keputusan yang sangat baik sekarang, tetapi perjalanan ini masih panjang," katanya.

Sementara itu, Potter mahu para pemain The Blues menggunakan kekalahan itu sebagai motivasi ke hadapan, dengan hanya tinggal dua perlawanan sebelum cuti musim sejuk untuk Piala Dunia, biarpun mengakui kecewa dengan keputusan dan prestasi.

“Anda boleh melihat perbezaan dalam kedua-dua pasukan dari segi keyakinan, dari segi mata yang mereka perolehi, dari segi struktur dan bekerjasama.

“Kami tidak berada dalam momen yang hebat. Walaupun ia tidak sepatutnya untuk dikatakan, namun Arsenal berhak memenangi perlawanan dan merupakan pasukan yang lebih baik secara keseluruhan, jadi kami perlu mengambilnya dan menggunakannya sebagai motivasi untuk memperbaiki diri," katanya.