Polis perjelas isu guna khemah PDRM dalam majlis politik

Tangkap layar video yang tular di media sosial mendakwa khemah polis diguna dalam aktiviti politik.
Tangkap layar video yang tular di media sosial mendakwa khemah polis diguna dalam aktiviti politik.
A
A
A

TAIPING - Penyewaan khemah milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam satu aktiviti politik di Taiping yang tular di media sosial telah dibatalkan serta-merta.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata, tindakan itu dibuat selepas mendapati, situasi tempat pemasangan khemah berkenaan mempunyai unsur aktiviti politik.

Menurutnya, sebelum ini polis telah menerima permohonan sewaan khemah Kelab Polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping itu daripada seorang individu bagi tujuan majlis kesyukuran dan permohonan berkenaan telah diluluskan.

"Bagaimanapun setelah anggota bertugas tiba di lokasi, didapati situasi tempat pemasangan khemah berkenaan mempunyai unsur aktiviti politik.

"Bagi mengelak timbulnya pandangan dan persepsi negatif, arahan segera telah dikeluarkan supaya khemah itu tidak dipasang," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Video tular berdurasi 1 minit dan 25 saat itu memaparkan sebuah kenderaan polis dipercayai membawa peralatan pemasangan khemah berada di sebuah kawasan lapang yang dikelilingi bendera parti politik.

Video yang dimuat naik di laman sosial itu telah menimbulkan dakwaan bahawa kemudahan polis telah disalah guna bagi tujuan aktiviti politik.

Razlam berkata, isu berkenaan telah tular di media sosial dan secara tidak langsung menimbulkan pelbagai spekulasi kalangan masyarakat.

Artikel Berkaitan:

"Kita maklumkan di sini bahawa kelulusan penyewaan khemah dibatalkan serta-merta. Tindakan ini bagi menjaga imej polis sebagai sebuah badan berkecuali," katanya.

Orang ramai boleh mendapatkan keterangan lanjut mengenai sebarang kekeliruan dengan menghubungi Pusat Kawalan IPD Taiping di talian 05-8291222.